Skuad Bola Tampar Remaja Sasar Ke Final

Diterbitkan: Rabu, 22 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan pemain-pemain bola tampar kebangsaan serta pegawai pasukan melaungkan
Barisan pemain-pemain bola tampar kebangsaan serta pegawai pasukan melaungkan "Malaysia Boleh" pada majlis penyerahan Jalur Gemilang, Selasa.- Foto STAR/Sia Hong Kiau

KUALA LUMPUR: Barisan pemain bola tampar kebangsaan yakin sekurang-kurangnya akan layak ke final pada Kejohanan Kejuaraan Bola Tampar Remaja Asia Tenggara Ke-16, di Thailand pada 24 hingga 28 September ini.

Ketua jurulatih bola tampar negara, Zulyadi Zakaria berkata, barisan pemain negara telah memulakan latihan sejak tiga minggu lalu dan turut mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menjelang kejohanan itu.

“Sebanyak lima negara termasuk Malaysia akan bertanding di Ratchaburi dan satu pasukan, Australia hadir sebagai pasukan jemputan perlawanan persahabatan.

“Dari segi pasukan, kita mempunyai gabungan pemain berpengalaman serta pemain baru. Saya harap mereka mampu meletakkan nama Malaysia di kelompok yang terbaik.

"Tujuh pemain merupakan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) dua orang, manakala seorang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Serawak (seorang) dan dari Negeri Sembilan juga seorang,” katanya pada Majlis Penyerahan Tajaan dan Jalur Gemilang kepada skuad, Selasa.

Katanya, cabaran paling utama adalah pasukan dari Thailand yang mana ia merupakan juara bertahan.

“Walaupun kita pernah menang dengan mereka, namun saya percaya kali ini pasukan ini pasti menjadi cabaran utama selain dari Myanmar, Indonesia dan Vietnam.

“Namun saya yakin pemain-pemain negara sudah bersedia menghadapi rentak lawan dan saya percaya mereka mampu mara sekurang-kurangnya ke pusingan akhir dan mendapat pingat.

“Peluang untuk menang adalah terbuka dan kami akan cuba merebutnya,” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Tay Chew Bin berkata, pasukannya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal dan berharap akan menunjukkan aksi terbaik pada perlawanan ini.

“Dengan kerjasama pasukan dan pengalaman yang ada, saya percaya pasukan ini boleh ke pusingan akhir. Jika boleh, kami ingin menjadi juara,” kata Chew Bin yang turut beraksi pada Sukan Sea di Laos tahun lalu.

Katanya, pasukan Thailand adalah pasukan yang sukar dikalahkan.

“Walaupun negara lain juga kuat, namun bagi saya Thailand adalah pasukan yang sukar ditundukkan berdasarkan perlawanan yang lalu. Apa pun kali ini saya pasti perlawanan lebih menarik memandangkan kami telah berlatih keras sebelum ini,” katanya.

Sebagai rekod, skuad bola tampar remaja negara berada di tempat ketiga pada Kejohanan Remaja Sea di Kuantan 2005 dan ranking kedua pada Kejuaraan Sekolah Asean di Kuala Lumpur Julai lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan