suria

Kerajaan Negeri Perak Sedia Bantu Bekas Atlet - MB

PULAU PANGKOR: Kerajaan negeri Perak akan memastikan kebajikan semua bekas atlet dari negeri ini terbela dan sedia memberikan bantuan yang diperlukan mereka, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata langkah itu wajar bagi mengiktiraf jasa mereka yang bukan sahaja mengharumkan negeri tetapi juga negara.

"Mereka perlu dihargai serta diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Selain menganugerahkan darjah kebesaran negeri, kita juga bersedia memberi sebarang bantuan yang difikirkan perlu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Bekas Pemain Piala Thomas di sebuah hotel di sini, Rabu.

Pada majlis berkenaan, Dr Zambry dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli dan tetamu turut meraikan harijadi ke-70 Datuk Tan Yee Khan, salah seorang bekas pemain badminton negara yang menjulang Piala Thomas ketika menentang pasukan Indonesia pada 1967.

Antara bekas pemain badminton negara yang hadir di majlis itu ialah Datuk Punch Gunalan, Razif Sidek dan Cheah Soon Kit.

Dr Zambry berkata adalah diharapkan kerajaan pusat akan turut meningkatkan usaha mengiktiraf jasa bekas atlet yang berjasa mengharumkan nama negara.

"Kita simpati dengan nasib beberapa bekas pemain negara apabila sampai pada satu peringkat, jasa mereka seolah-olah tidak dikenang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain