suria

KBS Nafi MSN Hutang Dengan Persatuan Sukan

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan menafikan dakwaan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) berhutang dengan beberapa persatuan sukan, Rabu.

Sebaliknya, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata MSN hanya mengagihkan peruntukan berdasarkan permohonan persatuan.

"Ini tidak boleh dikatakan hutang, cuma bila persatuan anjurkan sesuatu dan buat permohonan (untuk peruntukan) tapi tak dapat semua, dia kata hutang," katanya ketika diminta mengulas laporan media yang mendakwa MSN berhutang jutaan ringgit dengan persatuan-persatuan sukan berikutan kelewatan badan itu memproses tuntutan.

"Kita merupakan badan yang menjadi pemegang pada amanah rakyat, kita kena tengok bil juga...ada beberapa persatuan yang dokumennya tak lengkap, jadi mereka tak akan dapat semua yang dituntut," katanya selepas melancarkan Makmal Industri Sukan di Kompleks Sukan Bukit Jalil dekat sini.

Ahmad Shabery berkata MSN tidak menghadapi sebarang masalah kewangan dan masih mempunyai peruntukan yang cukup untuk membiayai aktiviti sukan yang dianjurkan persatuan-persatuan sukan di negara ini.

Beliau berkata berikutan masalah kegawatan ekonomi dunia yang menyebabkan peruntukan untuk badan itu berkurangan, pihaknya kini mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah dan enggan berbelanja mewah.

"MSN kini lebih berhati-hati dalam meluluskan permohonan dan kita sedar bahawa peruntukan yang diberikan kepada persatuan berkurangan dari tahun sebelumnya," katanya. Beliau juga berkata KBS akan menganjurkan Konvensyen Industri Sukan (KismasII) pada 28 hingga 30 Oktober ini di sebuah hotel di Seri Kembangan, Selangor.

Konvensyen yang bertemakan Sports Industry Powering Nation's Economy itu antara lain bertujuan memberi pendedahan dan maklumat terkini mengenai strategi menjana industri sukan ke arah pembangunan ekonomi negara.

Sementara itu Makmal Industri Sukan yang bermula hari ini sehingga hujung bulan depan mengumpulkan 34 peserta dari sektor kerajaan, akademik dan swasta untuk melihat secara mendalam bidang-bidang yang dapat menjana pendapatan dalam industri sukan.-BERNAMA

Artikel Lain