suria

Diana, Aretha Layak Ke Kejohanan Sime Darby LPGA

Aretha (kiri) dan Diana turut layak untuk beraksi pada Kejohanan Sime Darby LPGA Oktober ini.
Aretha (kiri) dan Diana turut layak untuk beraksi pada Kejohanan Sime Darby LPGA Oktober ini.
Aretha (kiri) dan Diana turut layak untuk beraksi pada Kejohanan Sime Darby LPGA Oktober ini.

KUALA LUMPUR: Diana Tham dan Aretha Pan mengesahkan tempat untuk beraksi pada Kejohanan Sime Darby LPGA bulan depan setelah berjaya meraih tempat pertama dan kedua saingan kelayakan kebangsaan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Rabu.

Pusingan kelayakan dua hari yang bermula semalam menyaksikan seramai 10 pemain golf wanita kebangsaan bersaing dalam pusingan kelayakan 36 lubang ini bagi merebut tempat ke kejohanan berprestij itu.

Bagaimanapun Diana berjaya mengungguli kedudukan pertama apabila berjaya melakukan 72 pukulan pada hari pertama, 77 pukulan hari kedua dengan jumlah keseluruhan 149.

Bersaing rapat bersamanya adalah Aretha Pan yang berjaya mengumpul 153 walaupun pada saingan akhir dia berjaya melakukan 74 pukulan sekaligus melayakkan kedua pemain kelahiran Sabah ini beraksi di kejohanan LPGA kelak.

Diana,18, berkata, dia sangat gembira setelah berjaya melakukan pukulan terbaik sepanjang dua hari pusingan kelayakan ini.

“Pastinya saya sangat teruja untuk beraksi pada kejohanan bulan depan. Ia sesuatu pengalaman dan saya berharap dapat berpasangan dengan pemain golf kesukaan saya, Natalie Gulbis nanti.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, penaja, jurulatih dan Program Pembangunan Sime DArby LPGA dalam membantu saya mencapai kejayaan hari ini,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Aretha,16, berkata, dia juga berasa gembira dengan pukulan yang dilakukan hari ini dan seterusnya akan menumpukan kepada latihan untuk aksi bulan depan.

“Saya gembira kerana menjadi sebahagian daripada pemain pada Kejohanan Sime Darby LGPA Malaysia nanti. Secara tidak langsung di bawah Program Pembangunan Sime Darby ini banyak membantu saya ketika menghadapi saat-saat genting pada saingan hari ini,” katanya.

Kedua-dua pemain ini bakal menyertai dua pemain golf profesional negara yang turut mendapat jemputan penaja Ogos lalu, iaitu Cindy Lee-Pridgen dan Jean Chua.

Selain itu, awal bulan lepas pemain profesional Thailand Tiranan Yoopan dan bintang golf remaja negara Kelly Tan berjaya menempah tiket ke kejohanan sulung golf Sime Darby LPGA Malaysia itu selepas diberi pengecualian ekoran kejayaan merebut dua tempat teratas pusingan akhir kelayakan serantau.

Kejohanan sulung golf Sime Darby LPGA Malaysia yang menawarkan hadiah AS$1.8 juta (RM5.92 juta) itu akan berlangsung di venue yang sama dari 22 hingga 24 Oktober ini.

Lima pemain terbaik dunia dalam ranking Rolex Women’s World sudah mengesahkan penyertaan mereka di Malaysia, yang terdiri daripada Ai Miyazato, Cristie Kerr, Shin Jiyai, Yani Tseng dan Suzann Pettersen.

Artikel Lain