suria

12 Pemain Galas Cabaran Sukan Asia Di Guangzhou

KUALA LUMPUR: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Selasa mengumumkan 12 pemain termasuk enam wanita bagi menggalas cabaran negara pada Sukan Asia di Guangzhou, China, pada November ini.

Pemain lelaki yang terpilih ialah Adrian Ang, Alex Liew, Muhd Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Aaron Kong, Zulmazran Zulkifli dan Muhd Nur Aiman Khairuddin manakala pasukan wanita terdiri daripada Zatil Iman Abdul Ghani, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi, Esther Cheah, Sin Li Jane, Sharon Koh dan Shalin Zulkifli.

Setiusaha Agung MTBC Sidney Tung dalam kenyataan berkata pemilihan skuad negara itu adalah berdasarkan ujian pemilihan 12 siri permainan di lorong berbeza seperti disyorkan oleh ketua jurulatih Holloway Cheah.

Katanya lima pemain Adrian, Muhd Syafiq, Muhd Nur Aiman, Li Jane dan Zatil Iman akan bersaing buat julung kali pada temasya Sukan Asia manakala lain pula telah beraksi pada Sukan Asia Doha pada 2006.

Di Doha, sukan boling telah menyumbang tiga daripada lapan pingat emas yang dimenangi oleh Malaysia.

Pengurus pasukan ke Guangzhou ialah naib presidennya Cheah Ban Cheng dan Cheah sebagai ketua jurulatih. - BERNAMA

Artikel Lain