suria

Zulfahmi Sokong Kehadiran Zamri Dalam MotoGP

Zulfahmi yakin kehadiran Zamri bakal memeriahkan lagi sukan pemotoran tanah air.
Zulfahmi yakin kehadiran Zamri bakal memeriahkan lagi sukan pemotoran tanah air.
Zulfahmi yakin kehadiran Zamri bakal memeriahkan lagi sukan pemotoran tanah air.

SEPANG: Penyertaan pelumba Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas AAM, Mohd Zamri Baba bagi kategori Moto2 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) turut mendapat sokongan penuh daripada pelumba MotoGP 125cc negara, Mohd Zulfahmi Khairuddin.

“Saya sangat gembira mendengar berita mengenai itu. Saya sentiasa merasakan Zamri mempunyai kekuatan mental dan fizikal untuk beraksi dalam kejuaraan ini. Dia juga seorang yang berdisiplin dan komited.

“Paling penting dia juga sangat berpengalaman dalam kategori 600cc dan saya yakin dia akan menjadi pesaing dalam kategori itu.

Katanya, dengan adanya Zamri dalam kategori Moto2, dia akan lebih bersemangat untuk berlumba pada MotoGP Pusingan ke-15, bermula 8 hingga 10 Oktober ini di Sepang.

“Penyertaan Zamri ini sekali gus menyaksikan Malaysia mempunyai komitmen dalam pembangunan sukan pemotoran negara.

"Harap kami berdua akan memberi persembahan terbaik di Sepang nanti dan dalam masa yang sama mampu mengajak lebih ramai pelumba Malaysia beraksi dalam MotoGP,” katanya.

Sementara itu, kehadiran Zamri ini pastinya bakal menarik lebih ramai peminat sukan pemotoran memandangkan dia antara pelumba terkenal dalam negara lebih-lebih lagi bagi peminat di negeri kelahirannya, Perlis.

Berita gembira ini telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Razlan Razali pada sidang media berhubung perkembangan terkini Grand Prix MotoGP Malaysia, Isnin.

Zamri (gambar) berkata, dia sangat bersyukur dan gembira kerana diberi peluang ini dan pastinya akan cuba yang terbaik.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang merealisasikan impian saya ini.

“Ini adalah peluang terakhir saya dan pasti saya berjanji tidak akan mengecewakan sesiapa. Saya rasa inilah program terbaik dan kita perlu teruskan untuk masa akan datang,” kata Zamri yang menjadikan pelumba Valentino Rossi dan Loris Capirossi sebagai idolanya.

Zamri mula berlumba sendiri pada tahun 2003 sebelum menyertai pasukan MOS Ah Hong Motors. Selepas itu dia menyertai Petronas Sprinta AAM Racing dan pada tahun 2004 dia bergelar juara kategori Wira epg dan seterusnya berubah ke kategori Novice.

Pada tahun 2007, Zamri mula menyertai pasukan Yamaha Malaysia ke pertandingan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), kategori 600cc di mana dia telah berjaya berada di tangga ketiga pada tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain