suria

Grand Prix Malaysia: Zamri Berentap Kategori Moto2

SEPANG: Perlumba Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas AAM, Mohd Zamri Baba terpilih untuk mengisi slot wildcard bagi kategori Moto2 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pusingan ke-15 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula 8 hingga 10 Oktober ini.

Berita gembira itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Razlan Razali pada sidang media berhubung perkembangan terkini Grand Prix MotoGP Malaysia di sini, Isnin.

Menurutnya, peluang itu hadir menerusi perbincangan pada saat-saat akhir antara SIC dan Two Wheels Motor Racing dengan pasukan dari Jepun, Moriwaki yang datang ke litar itu baru-baru ini untuk melakukan ujian pembangunan.

"Saya amat berbangga mengumumkan Zamri diberi peluang atas tiket wildcard untuk berentap dalam perlumbaan Moto2 pada MotoGP Malaysia awal bulan depan," katanya. Penyertaan Zamri dalam kategori itu sebenarnya tidak dirancang. Beliau dan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha, Azlan Shah Kamaruzaman pada mulanya sekadar diberi peluang untuk memandu uji jentera Moto2.

Memandangkan terdapat satu kekosongan yang terpaksa dilepaskan pelumba dari Jepun kerana mendapat tiket wildcard untuk berentap di Montegi, Moriwaki menghadiahkan tiket itu kepada pelumba negara. Atas persetujuan bersama SIC, TWMR dan Petronas Motorsports, mereka sebulat suara memilih Zamri untuk mewakili negara dalam kategori Moto2 kerana mengambil kira pengalaman dan tahap kecergasannya. Meskipun tiada penyertaan wildcard untuk kategori 125cc tahun ini atas faktor kewangan, ketiadaan jentera dan perubahan peraturan, peluang keemasan yang diberikan kepada Zamri sedikit sebanyak membawa pembaharuan dan memberi pendedahan kepada pelumba negara berentap dalam kategori Moto2.

"Tidak dinafikan Zamri mungkin berdepan sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan jentera Moto2. Namun kami percaya dia mampu menggalas cabaran yang diberikan. Peluang seperti ini tidak patut dilepaskan. Saya gembira kerana segalanya berlaku pada tempat dan masa yang tepat," tambahnya. Tahun lalu, Malaysia turut menurunkan dua pelumba cub prix negara, Elly Idzlianizar Ilias dan Mohd Zulfahmi Khairuddin yang beraksi atas tiket sama bagi kategori 125cc.

Razlan berkata, kejuaraan MotoGP di sini bulan depan akan menampilkan kelainan apabila Malaysia buat pertama kalinya menurunkan pelumba bagi kategori Moto2 manakala pelumba tunggal 125cc negara, Zulfahmi akan berusaha untuk memperbaiki kedudukannya di hadapan penyokong sendiri.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Pengarah Promosi TWMR, Ron Hogg dan Pengurus Besar Petronas Motorsports, Anita Azrina Abdul Aziz.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain