suria

Atlet Angkat Berat Negara Pulang Dari China Esok

KUALA LUMPUR: Seramai 11 atlet angkat berat yang menjalani latihan intensif di Wu Zai Shan, China sejak awal Julai lalu dijadualkan pulang ke tanah air esok.

Jurulatih skuad angkat berat negara, Zakaria Yusof berkata kesemua atlet tersebut yang tersenarai untuk ke Sukan Komanwel di New Delhi dari 3 hingga 14 Oktober, berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kesemua atlet seterusnya akan menghadiri kem latihan pusat kontinjen Malaysia di Putrajaya. Selain itu mereka akan terus menjalani latihan harian mereka di sebelah pagi," katanya kepada Bernama.

Jaguh-jaguh angkat berat berkenaan ialah Amirul Hamizan Ibrahim dan Mohd Shafiq Ismail bagi kategori bawah 56kg); Naharudin Mahayudin dan Aricco Jumitih (bawah 62kg); Mohd Faerul Talib dan Mohd Hafifi Mansor (bawah 69kg); Zulkifli Che Rose (bawah 77kg); Mohd Faiz Musa (bawah 94kg), Mohd Zafril Zulkifli (lebih 105kg); Zaira Zakaria (bawah 48kg) dan Raihan Yusoff (bawah 53kg).

Mengenai sasaran pingat di New Delhi, Zakaria berkata ia masih kekal dengan sasaran satu pingat emas dan akan berupa bonus sekiranya atlet berjaya meraih lebih banyak pingat emas.

"Kita meletakkan harapan tinggi kepada Amirul Hamizan Ibrahim untuk meraih emas," katanya.

Amirul merupakan pemenang tiga pingat emas dalam kategori yang sama di Sukan Komanwel Manchester (2002) dan Melbourne (2006). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain