Golf Kebangsaan Tawar Dua Tempat Di Kejohanan Sime Darby LPGA

Diterbitkan: Isnin, 20 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua lagi tempat ditawarkan untuk direbut oleh pemain golf wanita Malaysia bagi melayakkan diri ke kejohanan sulung Sime Darby LPGA Malaysia bulan depan, iaitu menerusi pusingan kelayakan kebangsaan selama dua hari yang bermula esok.

Sembilan pemain golf terpilih akan berentap dalam kejohanan golf 36 lubang itu di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di sini, bagi merebut peluang yang ditawarkan.

Dalam satu kenyataan di sini pihak penganjur berkata antara jagoan golf yang akan bersaing nanti ialah Aretha Pang dan Isza Fariza Ismail, yang masing-masing menduduki tempat ke lima dan enam dalam pertandingan kelayakan serantau bulan lepas.

Dua pemain golf terbaik nanti akan menyertai pemain golf profesional wanita Malaysia Cindy Lee-Pridgen dan Jean Chua, yang sudah menerima jemputan dua penaja pertama bulan lepas.

Awal bulan lepas pemain profesional Thailand Tiranan Yoopan dan bintang golf remaja negara Kelly Tan berjaya menempah tiket ke kejohanan sulung golf Sime Darby LPGA Malaysia itu selepas diberi pengecualian ekoran kejayaan merebut dua tempat teratas pusingan akhir kelayakan serantau.

Kejohanan sulung golf Sime Darby LPGA Malaysia yang menawarkan hadiah US$1.8 juta (RM5.92 juta) itu akan berlangsung di venue yang sama dari 22 hingga 24 Oktober ini.

"Pemain yang berjaya nanti akan menerima tawaran yang menyamai dua daripada pengecualian 10 penaja bagi acara showcase, yang juga akan menampilkan 50 pemain terbaik dalam senarai LPGA," menurut kenyataan itu.

Lima pemain terbaik dunia dalam ranking Rolex Women's World sudah mengesahkan penyertaan mereka di Malaysia, yang terdiri daripada Ai Miyazato, Cristie Kerr, Shin Jiyai, Yani Tseng dan Suzann Pettersen. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan