suria

Azrai Khor Terpaksa Tolak Tawaran Pasukan Luar Negara Kerana Masih Terikat Dengan FAM

ALOR SETAR: Bekas jurulatih Harimau Muda A Mohd Azrai Khor Abdullah terpaksa menolak beberapa tawaran sebagai jurulatih bagi pasukan dari Indonesia dan Vietnam berikutan beberapa masalah antara beliau dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang belum selesai.

Mohd Azrai berkata beliau masih terikat dengan FAM dan tidak boleh membuat sebarang keputusan untuk berkhidmat dengan mana-mana pasukan dalam atau luar negara sehinggalah masalah itu diselesaikan dalam masa terdekat.

"Saya kira beberapa tawaran itu cukup menarik bagi saya kerana pasukan-pasukan yang menawarkan jawatan jurulatih itu adalah pasukan yang terbaik di negara masing-masing. Ini satu penghargaan yang amat bermakna bagi saya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, Ahad.

Azrai berkata setelah masalah antara beliau dengan FAM selesai, beliau berhasrat untuk menjadi jurulatih pasukan di luar negara ekoran tugas yang bakal diterima amat mencabar.

Sebelum ini Azrai dan pembantu jurulatih Azman Eusoff yang mengendalikan skuad Harimau Muda A, terpaksa direhatkan oleh FAM awal Jun lalu setelah pulang dari Slovakia ekoran gagal menyerlah ketika bersama pasukan itu dan tempat beliau digantikan oleh Ong Kim Swee.

"Setakat ini hasil perbincangan dengan pihak FAM menunjukkan tanda-tanda positif dan saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera bagi membolehkan saya menaburkan khidmat sebagai jurulatih kepada pasukan yang berminat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain