suria

Atlet Ke Komanwel Akan Diberi Taklimat Kesihatan Esok

KUALA LUMPUR: Atlet Malaysia ke Sukan Komanwel di New Delhi dari 3 hingga 14 Oktober ini akan diberi taklimat mengenai panduan menjaga kesihatan semasa di negara itu, Ahad.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata taklimat yang akan diadakan di Hotel Palm Garden, Putrajaya itu akan disampaikan oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau berkata antara maklumat yang akan disampaikan kepada atlet nanti ialah soal mengenai cara bagi mencegah penularan demam denggi, batuk dan cirit birit.

"Panduan atau nasihat ISN mesti ikut, atlet bertanggungjawab untuk jaga diri mereka sendiri," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri MOM di sini, Sabtu.

Beliau berkata kontinjen negara yang terdiri daripada 203 atlet dan 99 pegawai itu akan berhimpun di Hotel Palm Garden sebelum bertolak ke New Delhi awal bulan depan.

"Perhimpunan itu juga bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan para atlet, dan acara penyerahan Jalur Gemilang juga akan diadakan semasa," katanya.

Awal bulan lalu, media India melaporkan 140 kes denggi direkodkan berlaku di negara itu dengan kes terbanyak, menjangkau 123 kes berlaku di New Delhi, ibu kota yang akan menjadi tuan rumah temasya itu.

Bagaimanapun Setiausaha Luar India Nirupama Rao semalam dilaporkan berkata kes demam denggi itu diperbesar-besarkan, dan beliau memberi jaminan semua persediaan bagi temasya itu akan siap mengikut masa.

Malaysia menghantar penyertaan dalam 14 acara iaitu akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, hoki, boling padang, memanah, menembak, olahraga, ping pong, skuasy, tinju, ragbi tujuh sebelah serta tiga acara paralimpik. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain