suria

Ping-Pong: Shakirin Harap Tuah Di New Delhi

KUALA LUMPUR: Selepas dua kali gagal untuk mendapatkan pingat dalam acara ping-pong Sukan Komanwel, Muhammad Shakirin Ibrahim berharap tuah menyebelahinya pada Sukan Komanwel di New Delhi, India yang akan berlangsung bulan depan.

Juara perseorangan lelaki kebangsaan bagi tahun 2006 dan 2007 itu berkata pada penampilan pertamanya di Manchester pada 2002, dia hanya melangkah ke pusingan suku akhir.

"Di Melbourne, Australia pada 2006, saya memperbaiki pencapaian dengan mara ke separuh akhir. Harap-harap di New Delhi, saya mampu menyumbang sekurang-kurangnya pingat gangsa kepada kontinjen negara," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Jika berjaya, pingat itu bakal menjadi hadiah paling manis bagi pemain berusia 25 tahun itu yang dijangka menimang cahaya mata pertama pada Januari depan bersama isterinya Nur Hidayah Sukaiman.

Pasangan itu mendirikan rumahtangga Disember tahun lepas.

Pada temasya di New Delhi yang akan berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober, Shakirin akan beraksi dalam empat acara iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu campuran dan berpasukan.

Mengenai peluang untuk meraih pingat, Shakirin lebih meletakkan harapan dalam acara beregu campuran dengan berganding bersama pemain veteran Ng Sock Khim.

Gandingan Shakirin-Sock Khim mara ke suku akhir di temasya di Melbourne tetapi tewas kepada pasangan Singapura yang diimport dari China.

Shakirin berkata pesaing utama skuad negara datang dari England dan India tetapi masalah utama meraih pingat ialah apabila berdepan dengan pemain-pemain import dari China.

"Hampir kesemua negara kini mengimport pemain dari China sebagai jalan mudah mencapai kemenangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Terry Kembali Beraksi

Artikel Berikut

Alonso Unggul Di Grand Prix Itali

Artikel Lain