suria

Transformasi Sukan Sebagai Industri Penjana Pendapatan Negara

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu menjadikan sukan sebagai satu industri yang mampu menjana pendapatan kepada negara dan mengubah pandangan bahawa bidang itu hanya semata-mata akvitiviti rekreasi dan penjagaan kesihatan sahaja.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Peng Shieu berkata kerajaan telah merangka pelan dengan mengambil model negara-negara yang berjaya mengubah sukan kepada industri menjana pendapatan.

"Kami berpendapat sudah tiba masa untuk mentransformasikan industri sukan.

Kementerian Belia dan Sukan kini bekerja ke arah mengumpul semua data yang relevan," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini.

Menurutnya tanpa data, industri sukan tidak dapat dibentuk kerana nilainya tidak dapat diketahui dari segi menjana pekerjaan serta sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Pendapatan Negara Kasar (GDI).

"Seperti Persatuan Pemain Golf Profesional Amerika Syarikat (USPGA) kerana kajian menunjukkan terdapat lebih 100 produk perdagangan dan perkhidmatan dalam Jelajah PGA. Pendapatan tahunan industri itu adalah lebih besar daripada Hollywood.

Jumlah aliran wang bukan sahaja pendapatan tetapi juga perkhidmatan berkaitan yang lain seperti sains sukan dan ubat-ubatan," katanya.

Gan berkata sejak tahun lepas, kementerian telah memulakan proses mendapatkan input rundingan dan profesional dari pelbagai pemegang kepentingan dan kumpulan profesional.

Salah sebuah usaha itu ialah menganjurkan Konvensyen Industri Sukan Malaysia tahun lepas dan penubuhan makmal Bidang Ekonomi Utama Kementerian (MKEA) Industri Sukan mulai 22 September hingga 29 Oktober ini.

Penubuhan makmal itu adalah usahasama oleh kementerian, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan MAMPU di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Kami menubuhkan sebuah sekretariat bagi mengumpul data dan menerima cadangan sejak Jun lalu. Minggu lepas kami mengadakan perbincangan meja bulat mengenai cara menggalakkan industri sukan secara lebih tertumpu," katanya.

Katanya tunggak kumpulan terdiri daripada 35 anggota telah di bawah masuk oleh kementerian untuk merangka pelan tindakan dengan bantuan PEMANDU sebelum pelan itu dilaksanakan tahun depan.

Bagaimanapun, bukan semua jenis sukan boleh dikomersialkan dan tumpuan terhadap sukan yang mempunyai nilai komersial seperti bola sepak, golf, ragbi, bola keranjang, badminton dan sukan permotoran.

Menurut perangkaan kementerian, nilai import 'Freight On Board' (FOB) untuk peralatan berkaitan sukan bertambah dari RM1.4 bilion pada 2008 kepada RM3.07 bilion tahun lepas.

Ini menunjukkan industri sukan di negara ini menyediakan peluang yang luas kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan model perniagaan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain