suria

Persekutuan Bola Sepak Portugal Pecat Queiroz

PENGURUS Portugal, Carlos Queiroz (gambar) dipecat oleh Persekutan Bola Sepak Portugal (FPF) ekoran hukuman penggantungan selama enam bulan kerana menghamburkan kata-kata kesat terhadap ejen anti-doping sebelum Piala Dunia, Jun lalu.

"Ekoran tindakan memalukan baru-baru ini, pengarah FPF mengambil keputusan sebulat suara untuk menamatkan kontrak Carlos Queiroz dengan serta-merta.

"Keputusan itu telah disuarakan kepada Carlos Queiroz yang akan menerima sebab-sebab dia dipecat," kata Presiden FPF, Gilberto Madail.

FPF telah mengenakan tempoh penggantungan terhadap Queiroz selama sebualan pada Ogos lalu tetapi pihak berkuasa anti-doping Portugal melanjutkan tempoh hukuman itu.

Portugal bermula hambar pada kempen kelayakan Euro 2012 dengan Queiroz diarahkan untuk menyaksikan anak buahnya di tempat duduk penonton.

Mereka menduduki tempat kedua tercorot Kumpulan H dengan satu mata daripada dua perlawanan kelayakan terdahulu yang menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Norway dan seri 4-4 dengan Cyprus.

"Kami tidak berpuas hati dengan tindakan FPF. Mereka tidak menghormati hak Queiroz. Jika kontrak itu ditamatkan, dia berhak mendapat pampasan," kata peguam kepada Queiroz, Rui Patricio.

Menurut Patricio, kebenarannya, Queiroz tidak mengganggu tugas anti-doping walaupun dia mengakui mengeluarkan kata-kata kesat terhadap beberapa ejen ketika kunjungan ke kem latihan Portugal, Mei lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain