Tidak Timbul Soal Tarik Diri Sukan Bandung

Diterbitkan: Selasa, 7 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pelajar Malaysia tidak akan menarik diri daripada menyertai Sukan Bandung di Indonesia yang dijadual bermula 8 hingga 10 Oktober ini.

Ini kerana katanya, sukan itu adalah temasya pertama membabitkan pelajar Malaysia di republik tersebut dan diperkenalkan atas inisiatif kementeriannya.

"Tidak timbul soal tarik diri kerana sukan ini melibatkan pelajar-pelajar kita yang belajar di Indonesia selain turut disertai oleh pelajar-pelajar Indonesia yang menjadi jemputan.

"Ia dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Bandung Games yang terdiri daripada kumpulan pelajar Malaysia di Indonesia dengan kerjasama kementerian dan Kelab Umno Luar Negara. Jadi kalau kita tarik diri seolah-olah kita tembak kaki kita sendiri," katanya di sini malam tadi.

Shabery yang ditemui pemberita selepas penyampaian bantuan Yayasan Kebajikan Negara kepada anak yatim dan warga emas diikuti majlis berbuka puasa diminta mengulas kenyataan Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee yang menggesa agar kementerian itu menilai semula keputusan untuk menyertai sukan tersebut.

MBM sebelum ini mengambil tindakan menghentikan buat sementara waktu semua hubungan antara belia Malaysia dengan Indonesia sebagai tanda bantahan dan mempertahankan kedaulatan negara serta rakyat Malaysia.

Ia berikutan tindakan biadap penunjuk perasaan di republik itu yang memijak, membakar dan meludah Jalur Gemilang, selain melempar najis manusia ke arah Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di sempadan perairan kedua-dua negara.

Mengulas lanjut soal, Ahmad Shabery berkata protes terhadap Malaysia itu hanya dilakukan oleh segelintir rakyat di negara tersebut sedangkan daripada segi hubungan diplomatik di antara kerajaan Indonesia dan Malaysia tidak mempunyai masalah.

"Jangan kita ambil tindakan tidak rasional untuk menyelesaikan masalah ini dan membiarkan pihak-pihak yang bertanggung jawab mencucuk hubungan antara kedua negara ini mengambil kesempatan," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery berkata, kementerian bersedia membatalkan sukan itu jika dinasihatkan Wisma Putra untuk berbuat demikian atas faktor-faktor keselamatan. Katanya kerajaan juga tidak bercadang untuk membatalkan penyertaan Malaysia dalam Sukan Sea yang bakal diadakan di Jakarta pada tahun depan kerana ianya akan memberi impak negatif terhadap hubungan dua hala kedua-dua negara.

Pada masa yang sama beliau menasihati pemimpin belia di negara ini supaya berlapang dada dan tidak mudah melenting dalam menghadapi sesuatu isu melibatkan dua negara itu.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan