suria

Tuanku Mizan Ketuai Cabaran Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, akan mengetuai 100 peserta lain pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu di Lembah Bidong, Setiu, pada November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat berkata peserta dari 12 negara termasuk Malaysia dijangka bersaing dalam kategori 120km dari 5 hingga 7 November ini.

"Setakat ini, tujuh buah negara Amerika Syarikat, Chile, Uruguay, Perancis, Thailand, Indonesia dan Singapura telah mengesahkan penyertaan," katanya kepada pemberita, Jumaat.

Rozi berkata pihak penganjur juga sedang menunggu jawapan daripada Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Australia, New Zealand, Korea Selatan, Jepun dan India.

Beliau berkata antara kelab tempatan yang akan turut memeriahkan kejohanan itu ialah pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), Penn Endurance Club, Langkawi Endurance Stable, Masterscaff Endurance Team dan TSAB Stable Perlis.

Katanya sebelum ini, kejohanan anjuran kerajaan negeri dan Yayasan Perkasa Alam itu, dikenali dengan nama Cabaran Kuda Lasak Terengganu.

Rozi berkata juara kejohanan itu akan menerima hadiah RM30,000, kedua RM20,000, RM15,000 (ketiga), RM10,000 (keempat) dan RM8,000 bagi peserta di tempat kelima di samping piala.

Hadiah RM1,000 juga akan diberikan kepada peserta yang berjaya menghabiskan acara pada masa yang ditetap dan hadiah RM3,000 kepada kuda terbaik, katanya.

Rozi berkata kejohanan itu diiktiraf oleh Equestrian Association of Malaysia (EAM) dan juga Federation Equestrian International (FEI).

Beliau berkata pihak penganjur juga bercadang mengadakan beberapa acara sampingan di tapak perlumbaan sempena kejohanan itu seperti pertunjukan kuda dari luar negara serta persembahan hiburan oleh artis jemputan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain