suria

Azlan Penerima Habuan Terbesar Shakam

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy negara, Mohamad Azlan Askandar mendahului senarai penerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bernilai RM45,000 keseluruhan pada majlis penyampaian insentif khas itu di Dewan Komanwel, Bukit Jalil, Khamis.

Azlan meraih satu emas (RM40,000) dan satu gangsa (RM5,000) pada Kejohanan Skuasy Asia ke-15 di Chennai, India Mei lalu.

Sementara itu, Datuk Nicol Ann David menerima RM42,187.50 dengan satu emas dan gangsa dalam acara berpasukan, manakala Ivan Yuen Chee Wern menerima RM5,000 (gangsa).

Sharon Wee Ee Lin, Delia Odette Arnold dan Low Wee masing-masing menerima RM2,187.50 dan Ong Beng Hee serta Mohd Nafiizwan Mohd Adnan mendapat RM5,000 setiap seorang.

Selain itu, ratu akuatik (terjun) wanita negara, Pandelela Rinong Pandelela yang meraih dua pingat perak dalam acara 10m platform dan 3m papan anjal pada Sukan olimpik Remaja, Singapura baru-baru ini mendapat habuan sebanyak RM20,000.

Atlet renang paralimpik negara, Zul Amirul Sidi Abdullah yang beraksi hebat pada Kejohanan Renang Dunia IPC di Belanda bulan lalu turut menerima habuan sebanyak RM6,000 setelah meraih satu pingat gangsa dalam acara 50m kuak lentang.

Atlet bina badan negara yang tidak asing lagi, Sazali Abd Samad turut menerima insentif sebanyak RM8,750 setelah berjaya menggondol pingat emas pada Kejohanan Bina Badan Asia Ke-44 dalam kategori lightweight bawah (70kg), manakala Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah menerima sebanyak RM3,750 setelah meraih perak pada Athletics Physique ke-2 awal Ogos lalu.

Jaguh beregu badminton negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang berjaya meraih gelaran naib juara pada Kejohanan Dunia di Paris minggu lalu turut menerima durian runtuh sebanyak RM5,000 seorang.

Pasukan remaja bola jaring negara yang terdiri daripada 12 orang pemain turut menerima hadiah sebanyak RM1,500 seorang setelah berjaya mengekalkan gelaran juara Asia pada Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia Ke-7 di New Delhi, India pada Julai lalu.

Skuad badminton remaja negara tidak ketinggalan untuk mendapat mendapat insentif remaja (Shakar) dengan meraih RM16,000 keseluruhan apabila meraih pingat gangsa berpasukan. Mereka ialah Loh Wei Sheng, Nur Mohd Azriyn Ayub, Tew Gee Chong, Zulfadli Zulkifli, Sonia Cheah Su Ya, Lai Peng Jing, Lai Shevon Jemie dan Yang Li Lian.

Manakala Teo Ee Yi dan Nelson Heng Wei Keat menerima habuan sebanyak RM12,000 setiap seorang setelah menang pingat perak dan gangsa dalam acara beregu dan berpasukan campuran.

Jumlah tertinggi bagi pasukan ini diraih oleh Ow Yao Han dan Yew Hong Kheng apabila setiap seorang meraih RM22,000 setelah berjaya merangkul pingat emas dan gangsa dalam acara beregu dan berpasukan lelaki.

Selain itu, pasukan tenpin boling wanita turut menerima hadiah kemenangan apabila meraih gangsa dalam acara beregu dan berpasukan pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Dunia ke-11 di Finland bulan lepas.

Acara berpasukan diwakili Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Fatin Syazliana Adi Nasution, Jacquelina Jenelee Sijore dan Sin Li Jane mendapat RM2,500 setiap orang manakala acara beregu Aris Ardila Santosoh dan Syimir Abdul Razak mendapat RM5,000 setiap orang.

Skuad lelaki tenpin boling, Alex Liew Kien Liang dan Muhammad Nur Aiman yang beraksi pada Kejohanan Dunia ke-18 di Munich Ogos lalu turut mendapat habuan apabila masing-masing mendapat RM20,000 seorang apabila berjaya meraih perak dalam acara beregu lelaki.

Artikel Berikut

Atlet Negara Dapat Habuan Raya

Artikel Lain