suria

Media Dijemput Sertai Makmal Industri Sukan

KUALA LUMPUR: Makmal Industri Sukan kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang akan berlangsung selama enam minggu bermula 22 September ini bukan saja terhad kepada penggerak, pengamal dan mereka yang terlibat dalam industri dan sektor sukan bahkan penyertaan pihak media amat dialu-alukan.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, kementerian amat menggalakkan kehadiran pihak media untuk melihat sendiri operasi Makmal Industri Sukan yang dibahagikan kepada tiga sub makmal iaitu Makmal Industri Sukan Kategori Barangan Dan Peralatan, Makmal Industri Sukan Kategori Kemudahan dan Makmal Industri Sukan Kategori Perkhidmatan.

"Pihak media dijemput untuk menyertai Makmal Industri Sukan ini. Sekiranya berminat, pihak kementerian boleh mengeluarkan surat pelepasan kepada majikan masing-masing," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Rabu.

Makmal Industri Sukan yang dilaksanakan dengan kerjasama Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) itu diadakan bertujuan untuk menyediakan hala tuju dan Pelan Strategi Industri Sukan negara.

Selain itu, ia juga dilaksanakan untuk mengenal pasti strategi, inisiatif dan cadangan berdaya saing bagi mengubah sukan sebagai satu industri yang boleh menjana pendapatan dan menyumbang kepada ekonomi negara serta membangunkan pelan tindakan pembangunan industri sukan.

"Cadangan daripada sektor swasta, syarikat berasaskan sukan dan pihak berkepentingan dalam sukan amat diperlukan selain mengenal pasti 'stakeholders' dalam melakukan transformasi sukan sebagai satu industri," katanya.

KBS mensasarkan penglibatan seramai 30 orang ahli makmal terdiri daripada penggerak industri dari sektor awam dan swasta yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam ketiga-tiga kategori makmal itu.

"Semua itu dilakukan untuk mendapatkan input dan maklum balas mereka supaya dapat mengeluarkan hasil makmal yang komprehensif serta relevan bagi kementerian mahupun kerajaan dalam membangunkan industri sukan negara," tambahnya.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai Makmal Industri Sukan itu, bolehlah menghubungi Sekretariat Makmal Industri Sukan di talian 03-8871 3348 (Azman Maarof) dan 03-8871 3303 (Farasyila Diana Kamarudin).

Artikel Berikut

Artikel Lain