suria

Atlet Negara Dapat Habuan Raya

KUALA LUMPUR: Datuk Nicol Ann David dan Mohammad Azlan Iskandar dari sukan skuasy adalah antara atlet negara yang menerima insentif paling tinggi menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) di sini, Khamis. Nicol, pemain wanita nombor satu dunia, menerima RM42,187.50 manakala Mohamad Azlan pula mendapat RM45,000, selepas mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa pada tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, menyampaikan cek skim Shakam kepada atlet pada majlis penyampaian dan berbuka puasa anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

Nicol dan Mohamad Azlan, bagaimanapun tidak hadir pada majlis tersebut.

Selain jaguh skuasy itu, atlet bina badan Sazali Abdul Samad menerima RM8,750 berikutan kejayaannya merangkul gelaran Kejohanan Asia di Iran awal bulan lepas. "Pastinya sumbangan ini menjadi pembakar semangat untuk saya membuat lebih baik lagi pada kejohanan akan datang dan juga (pembakar semangat) kepada semua atlet negara pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel nanti," kata Sazali selepas majlis itu. Penerima insentif lain termasuk atlet terjun Pandalela Rinong (RM20,000), atlet boling Alex Liew dan Muhammad Nur Aiman (masing-masing RM20,000) dan atlet renang paralimpik Zul Amirul Sidi Abdullah (RM6,000).

Beregu negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang merangkul naib johan pada Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis, minggu lepas, turut menerima RM5,000 setiap seorang.

Atlet remaja negara yang terdiri daripada pasukan tenpin boling remaja, pasukan bola jaring remaja dan skuad badminton remaja juga menerima insentif antara RM1,000 ke RM2,500 seorang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain