suria

Mizi Sport Centre Rancang Buka Tujuh Lagi Cawangan Baru Tahun Ini

NILAI: Kedai keperluan peralatan sukan terkini, Mizi Sport Centre mensasarkan untuk membuka tujuh lagi cawangan barunya di seluruh negara menjelang akhir tahun ini dengan setiap cawangan baru memerlukan pelaburan di antara RM800,000 hingga RM1 juta.

Pengarah Urusannya Mohd Azmi Mat Nayan berkata pembukaan cawangan baru ini bagaimanapun bergantung kepada kesesuaian lokasi dan tempat.

"Selepas pembukaan cawangan pertama di Nilai semalam, kita berhasrat untuk membuka cawangan kedua di Bangi, Selangor manakala selebihnya belum diputuskan lagi," katanya kepada pemberita di sini.

Cawangan pertama Mizi Sport Centre beroperasi di 9 Avenue, Taman Korporat, Putra Nilai (berhadapan Giant Nilai) di sini. Sempena dengan pembukaan cawangan pertama itu, Mizi Sports Centre menawarkan potongan harga yang menarik.

Katanya Mizi Sport Centre mengambil inisiatif memperluaskan rangkaian cawangannya bagi memenuhi kehendak semua lapisan masyarakat.

"Pasaran peralatan sukan ini luas. Berdasarkan sambutan dan minat menyeluruh pengguna terhadap produk sukan dan produk gaya hidup yang berjenama, kita yakin dapat memenuhi permintaan ini," katanya.

Mohd Azmi berkata produk yang ditawarkan adalah dari rangkaian jenama sukan utama dan antarabangsa seperti Nike, Adidas, Puma, Reebok, Umbro, Lotto, Line 7 dan Kappa dengan harga yang berpatutan.

Di samping itu, katanya Mizi Sport Centre menyediakan produk terkini dan berteknologi tinggi untuk barangan sukan khususnya bola sepak, futsal, olahraga, tenis, badminton dan lain-lain.

"Kita menyediakan kelengkapan menyeluruh untuk semua jenis sukan serta pakaian kasual, peralatan sukan dan aksesori seperti baju-t, kasut, beg, bola, seluar, stoking dan lain-lain untuk lelaki dan wanita.

"Selain itu, kita juga memberi tumpuan kepada produk untuk remaja, pelajar dan kanak-kanak," katanya.

Katanya di musim perayaan, Mizi Sport Centre akan menawarkan jualan 'Mega Sale' untuk kesemua produk yang ditawarkan. Mizi Sport Centre juga menawarkan urusan pembelian produk dan pakaian sukan kepada syarikat korporat dan agen persendirian dengan tawaran harga istimewa. - BERNAMA

Artikel Lain