suria

Mohd Shamil Mahu Tebus Kekecewaan Di New Delhi

KUALA LUMPUR: Walaupun sekadar menduduki ranking ke-11 dunia dalam acara powerlifting kategori 90 kg lelaki, Mohd Shahmil Md Saad bertekad untuk bangkit kembali pada Sukan Komanwel di New Delhi Oktober ini.

Atlet kelahiran Pahang itu berkata beliau akan beraksi dalam kategori yang sama semasa di New Delhi dan menjangka saingan sengit dari atlet India.

"Saya tidak berpuas hati dengan prestasi semasa kerana hanya mampu mendapat ranking ke-11 daripada 15 peserta dan jumlah angkatan saya masih jauh ketinggalan berbanding atlet luar negara.

"Kedudukan ranking lapan dan ke atas menunjukkan prestasi yang kurang baik dan jauh bezanya jika dibandingkan dengan ranking teratas," katanya kepada Bernama hari ini.

Sukan Komanwel yang berlangsung di India dari 3-14 Okt turut mempertandingakan acara powerlifting, renang, olahraga dan ping pong berkerusi roda bagi atlet paralimpik.

Pada kejohanan powerlifting International Paralympic Committee (IPC) yang berlangsung di Stadium Titiwangsa hari ini, Mohd Shahmil melakukan angkatan 172.5kg berbanding pemenang pingat emas, Hany Abdelhady dari Mesir yang melakukan angkatan 235kg.

Mohd Shahmil berkata punca utama penurunan prestasinya kerana hanya berlatih selama sebulan sebelum kejohanan.

Shamil sebelum ini pernah memenangi dua pingat perak dalam Asean Powerlifting Championship (APC) dan Sukan Para Asean di Kuala Lumpur pada tahun lepas.

Jurulatih kebangsaan William Yeoh berkata angkatan Mohd Shahmil seberat 172.5kg hari ini merupakan angkatan peribadi terbaik atlet itu.

Beliau berkata Mohd Shahmil sebelum ini mensasarkan angkatan 170kg dan berjaya melepasi sasaran tersebut walaupun sekadar menduduki tangga ke-11.

"Kejohanan di sini bertaraf dunia tetapi di Sukan Komanwel, saingan sengit hanya peserta dari India. Saya percaya Mohd Shahmil mampu meraih pingat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain