suria

Pemain Red Wariors Tunai Umrah 7 Ogos Depan

Tan Sri Annuar Musa (kanan) melihat kasut berjenama Ambro pada majlis pelancaran kedai peralatan sukan Ambro di Jalan Mahmood di Kota Bahru, Isnin. Foto BERNAMA
Tan Sri Annuar Musa (kanan) melihat kasut berjenama Ambro pada majlis pelancaran kedai peralatan sukan Ambro di Jalan Mahmood di Kota Bahru, Isnin. Foto BERNAMA
Tan Sri Annuar Musa (kanan) melihat kasut berjenama Ambro pada majlis pelancaran kedai peralatan sukan Ambro di Jalan Mahmood di Kota Bahru, Isnin. Foto BERNAMA

KOTA BAHRU: Kerajaan Kelantan dijangka memenuhi janjinya apabila serombongan 60 pemain dan pengurusan pasukan bola sepak Red Wariors Kelantan akan menunaikan umrah ke tanah suci Mekah selama dua minggu, mulai 7 Ogos ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata kesemua 40 pemain yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri itu adalah pemain Kelantan musim lepas kerana berjaya memasuki peringkat akhir Liga Malaysia menentang Negeri Sembilan.

Manakala pemergian beliau selaku ketua rombongan itu dengan beberapa pegawai dan peminat bola sepak adalah atas pembiayaan sendiri.

"Rombongan ke Mekah itu sebagai memenuhi janji atau 'hadiah' kerajaan negeri kerana pasukan Red Wariors berjaya memasuki peringkat akhir dan muncul sebagai Naib juara liga itu musim lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan rangkaian kedai sukan Ambro di Jalan Mahmood, di sini, petang Isnin.

Turut hadir Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Affandi Hamzah dan Pengurus Ambro dan Active Sport Centre, S. Muru Mike, mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Umbro, S. Thavaneson.

Menurut Annuar, sepanjang perjalanan ke tanah suci itu, rombongannya akan melawat Kaherah, Mesir dan mungkin mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan bola sepak rebublik itu, selain berada di Madinah selama tiga hari dan enam hari di Mekah.

Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga salah seorang calon Timbalan Presiden FAM pada Kongres FAM 31 Julai ini, berkata Kafa akan menyediakan peruntukan RM200,000 kepada kelab bola sepak di peringkat daerah dengan mewujudkan piala ala FA di peringkat daerah masing-masing.

"Langkah itu bagi melahirkan pemain pelapis yang bakal mewarisi pemain-pemain lama untuk mengekalkan mutu bola sepak di negeri ini ke arah mengekalkan Kelantan sebagai pasukan terbaik," katanya.

Sehubungan itu, beliau juga mahu kelab-kelab sukan di peringkat daerah mengadakan karnival bola sepak masing-masing untuk tunas baru yang berumur bawah 10 tahun.

"Ini kerana kita tidak mahu bakat sukan yang ada di negeri ini tumbuh secara meliar tanpa disusun atur menerusi program yang lebih efektif," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain