suria

Johor Ungguli Cabaran Kayak Berhalangan Di Jerlun

JERLUN: Pasukan Kanu Johor (A) dinobatkan sebagai johan keseluruhan Cabaran Kayak Berhalangan Jerlun (Akar Jerlun) 2010, sekaligus membawa pulang wang tunai RM10,000.

Dengan catatan masa 5:7:15, Johor (A) juga muncul juara kategori terbuka kebangsaan, manakala tempat kedua dimenangi pasukan Kanu Johor (B) (5:17:52), membawa pulang wang tunai RM5,000 dan tempat ketiga Terengganu (A) (5:20:35) menerima RM2,000.

Kategori tertutup institusi pengajian tinggi pula diungguli pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (A) yang berjaya membawa pulang wang tunai RM4,000 setelah mencatatkan masa terpantas iaitu 5:18:35.

Pemenang tempat kedua yang menerima RM2,500 ialah pasukan dari Universiti Teknologi Malaysia dengan catatan masa 5:20:14, manakala tempat ketiga disandang oleh pasukan Universiti Teknologi Mara (A)(5:25:28), menerima RM1,000.

Sementara itu, pasukan Kedah RC (A) menjadi Johan kategori tertutup Kedah dengan catatan masa 5:56:18 dan membawa pulang RM2,000, tempat kedua diraih pasukan Umno (6:08:08) menerima RM1,000, dan pasukan Kosca (6:40:05) menerima RM700.

Sementara itu, anggota parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, penganjuran Akar Jerlun 2010 dianggap sangat berjaya dan berharap lebih ramai pasukan akan mengambil bahagian tahun depan.

"Akar Jerlun 2011 akan diadakan sekitar April tahun depan dan kita akan buka penyertaan kepada pasukan luar negara sebab tahun ini pun ada negara yang minat iaitu Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Sebanyak 140 kayak menyertai Akar Jerlun 2010 yang dianjurkan bersama Pusat Khidmat Anggota Parlimen Jerlun, Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara), Persatuan Kanu Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pada cabaran itu peserta telah menyusuri sungai dan terusan-terusan utama dalam Parlimen Jerlun melalui litar sejauh 53 kilometer. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain