Beng Hee Dan Mohd Azlan Mara Ke Perlawanan Suku Akhir Skuasy - Sukan | mStar

Beng Hee Dan Mohd Azlan Mara Ke Perlawanan Suku Akhir Skuasy

Diterbitkan: Rabu, 21 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara Ong Beng Hee dan Mohd Azlan Iskandar melepasi halangan pertama dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB di sini, Rabu untuk mara ke peringkat suku akhir kejohanan, Khamis.

Pemain pilihan keempat kejohanan Mohd Azlan memulakan saingan hari ini dengan menewaskan pemain bukan pilihan dari New Zealand Campbell Grayson 11-4, 10-12, 11-3 dan 11-5 dalam masa 43 minit.

Beliau akan menentang Aamir Atlas Khan dari Pakistan dalam saingan suku akhir yang akan berlangsung di pusat membeli belah The Curve esok.

"Saya jangka cabaran esok lebih sengit, jadi saya perlu rehat secukupnya malam ini kerana saya perlu lebih fokus kepada perlawanan esok," kata Mohd Azlan.

Terdahulu Aamir menewaskan Ryan Cuskelly dari Australia, 8-11, 11-6, 11-6 dan 12-10 dalam masa 65 minit.

Sementara itu pemain pilihan ke lima kejohanan Beng Hee menewaskan pemain pelapis negara Muhd Asyraf Azan untuk mara ke perlawanan suku akhir esok.

Selepas pulih dari kecederaan kecil belakangnya, Beng Hee memulakan saingannya dengan menumpaskan Muhd Asyraf 12-10 dalam set pertama, bagaimanapun Muhd Asyraf menyamakan kedudukan dengan memenangi set berikutnya 11-7.

Beng Hee kemudiannya bangkit dalam set ketiga untuk menang dengan 11-7, namun Muhd Asyraf masih tidak mahu mengalah apabila memenangi set berikutnya dengan 8-11.

Bagaimanapun dalam set penentuan Beng Hee menundukkan lawannya dengan 11-9, dengan pertembungan mereka memakan masa 57 minit.

Dalam perlawanan suku akhir esok Beng Hee akan bertemu dengan pemain pilihan Mohamed El Shorbagy dari Mesir, yang menewaskan pemain India Siddhart Suchde 11-4, 11-7 dan 11-9.

Pemain ketiga negara Mohd Nafiizwan Adnan bagaimanapun gagal mengikut jejak langkah pemain seniornya apabila beliau tewas di tangan pemain pilihan ke tujuh kejohanan Tarek Momen dari Mesir dengan 11-6, 9-11, 10-12 dan 7-11 dalam perlawanan yang mengambil masa 55 minit. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan