suria

Sviachandran, Tempatan Pertama Rangkul Kejuaraan Masters Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: S. Sivachandran muncul pemain tempatan pertama menjuarai kejohanan Golf Jemputan Masters Negeri Sembilan 2010 dengan kelebihan 12 pukulan pada pusingan akhir di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC), Ahad.

Pada pusingan itu, Sivachandran, 31, mencatat tiga di bawah par 69 untuk mengumpul sejumlah 18-bawah-par 270 bagi merangkul kejuaraan buat pertama kali diperkenalkan pada 2005.

Catatan selama empat hari itu juga merupakan rekod baru kejohanan.

Ketinggalan jauh di tempat kedua ialah tiga pemain; iaitu juara bertahan dari Singapura Lam Chih Bing, dan pemain tempatan Akhmal Tarmizee Nazari dan Iain Steel yang masing-masing terikat dengan jumlah 280 pukulan.

"Pastinya saya gembira apa lagi sebagai pemain tempatan pertama yang menang.

"Skor saya 18 di bawah par 270 adalah pencapaian peribadi terbaik saya sejak menjadi profesional pada 2006," kata Sivachandran dan menambah kemenangan semalam merupakan hadiah perkahwinannya yang baru berlalu.

Sivachandran meraih RM78,500 di samping bonus RM10,000 daripada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.

KEPUTUSAN PUSINGAN AKHIR:

(Peserta adalah Malaysia kecuali dinyatakan)

270 - S.Sivachandhran 66-66-69-69;

282 - Lam Chih Bing (SIN) 72-71-70-69, Akhmal Tarmizee Nazari 68-70-73-71, Iain Steel 70-71-70-71;

283 - R. Nachimuthu 73-72-70-68, Airil Rizman Zahari 70-70-74-69, T.J. Kim (KOR) 70-73-67-73;

284 - Takafumi Kawane (JPN) 69-74-72-69, Nakul Vichitryuthasastr (THA)73-71-69-71, Pariya Junhasavasdikul (THA) 71-69-73-71. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain