suria

Malaysia Tunduk Kepada Kehebatan Thailand

PUTRAJAYA: Malaysia mengakui kehebatan Thailand dalam acara sepak takraw apabila tumpas 1-2 pada perlawanan akhir acara berpasukan pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) di sini pada Jumaat.

Regu pertama negara Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi, Putera Aidil Israfil Kamarazuman dan Mohd Nazri Hafiz Mohd Najib gagal membuka langkah cemerlang apabila tewas pada regu Thailand Nattapon Kraiwan, Yuwapong Pamon dan Thanawut Song Tuan 21-7, 21-15.

Bagaimanapun, regu kedua negara Muhammad Zulkifli Abdul Razak, Muhammad Aiman Fouzi dan Norhazwan Nafiram meniupkan semula semangat pasukan apabila menyamakan kedudukan.

Regu negara terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi trio Thailand Purached Yodsan, Panupong Petlue dan Treepong Rawangpai 21-17, 21-18.

Pada perlawanan penentuan, servis tajam tekong Santisuk Ngoenkongpang dan rejaman berbisa 'killer' pasukan itu Pichit Pansan berjaya mengucar-kacirkan pertahanan regu negara yang terdiri daripada Muhamad Nazmi Mohd Najib, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Muhamad Suhairi Sulaiman.

Thailand memenangi perlawanan tersebut 21-17, 21-13 dan sekaligus mempertahankan pingat emas dan Malaysia sekadar perak. Indonesia dan Brunei berkongsi pingat gangsa.

Penolong pengurus pasukan negara Razuki Abdul Rahim berkata anak buahnya telah melakukan yang terbaik namun rezeki tidak menyebelahi mereka.

"Thailand ternyata lebih handal daripada kita...bagaimanapun kejohanan ini telah memberi pendedahan yang baik untuk atlet-atlet pelapis negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain