suria

Temasya Bandung Erat Hubungan Mahasiswa Malaysia Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Seramai 6,000 mahasiswa Malaysia yang berada di 17 daerah di Indonesia akan berkumpul di Bandung bagi menyertai Temasya Sukan Bandung pada 8 hingga 10 Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata temasya tersebut yang akan mempertandingkan pelbagai acara sukan termasuk sukan tradisional, dianjurkan sendiri oleh pelajar Malaysia di negara tersebut.

"Tujuan utama temasya bagi merapatkan hubungan pelajar-pelajar Malaysia di negara tersebut disamping mengeratkan hubungan di antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyertai karnival sukan 'Titian Muhibbah' di antara kementeriannya dengan Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia yang diketuai menterinya, Dr Ardi Malaranggeng.

Antara acara sukan yang diadakan sempena karnival tersebut di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil ialah ialah badminton, tenis, bola jaring dan futsal.

Ahmad Shabery berkata antara acara yang akan dipertandingkan di Temasya Sukan Bandung ialah futsal, badminton, bola jaring, bola tampar, bola sepak dan sukan tradisional seperti congkak, catur dan batu seremban.

Beliau berkata Temasya Sukan Bandung akan diadakan pada setiap tahun dengan itu Bandung akan menjadi venue tetap bagi acara tersebut.

Beliau berkata selain di Indonesia, mahasiswa Malaysia di luar negara kebanyakannya mengadakan temasya sukan mereka sendiri tanpa mengharap peruntukan dari kementeriannya.

"Di Britain, ada Nottingham Games bagi menghimpun pelajar Malaysia. Di negara lain juga, mahasiswa Malaysia menganjurkan temasya mereka sendiri, bertujuan merapatkan hubungan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Silva Kini Milik City

Artikel Berikut

Artikel Lain