suria

Zulfahmi Diingatkan Jangan Beri Tekanan Ke Atas Dirinya

KUALA LUMPUR: Penunggang Malaysia Zulfahmi Khairuddin telah dinasihatkan supaya tidak memberi tekanan yang tidak perlu ke atas dirinya sementara mengekalkan prestasi yang mengagumkan dalam Kejohanan Grand Prix Motor Dunia (MotoGP).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Razlan Razali berkata pelumba berumur 18 tahun itu perlu menghadapi Grand Prix Jerman di Sachsenring minggu ini dengan cara yang sama yang telah dilakukan sebelum ini bagi lima pusingan sebelum ini.

"Tekanan sentiasa ada ke atas Fahmi terutama daripada media tempatan dan mereka yang berkaitan, ia masih sukar sebanyak mana kami minta beliau tenang dan relaks.

"Tapi, dengan mengatakan sedemikian, prestasi Fahmi dari segi mental dan fizikal adalah baik, seperti yang kerap kami lihat bahawa semasa latihan dan pusingan kelayakan, walaupun beliau berdepan masalah tetapi beliau akan bangkit semula, kekal fokus dan menunjukkan persembahan yang baik," kata Razlan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Awal bulan ini, penunggang Racing Team AirAsia Sepang International Circuit (SIC) itu meraih satu mata kejohanan dunia apabila menduduki tempat ke-15 dalam Catalunyan Grand Prix di Sepanyol.

Zulfahmi yang kini berada pada kedudukan ke-21 dalam kedudukan keseluruhan kejohanan, hanya memulakan perlumbaan dalam MotoGP Dunia awal tahun ini.

Razlan berkata walaupun penyertaan Zulfahmi dalam kejohanan itu masih baru, penunggang itu telahpun memberikan impak yang hebat kepada sukan pemotoran Malaysia.

"Melalui penyertaan Zulfahmi dalam MotoGP, beliau telah menanam keyakinan bahawa rakyat Malaysia mempunyai bakat dan kebolehan.

"Saya yakin beliau telah memberikan impak yang hebat kepada "mat motor' yang biasa di Malaysia dan mereka semua bercita-cita untuk menjadi seperti beliau seperti mana kedudukan beliau sekarang," katanya.

Razlan berkata terdapat peningkatan dalam bilangan penyertaan bagi kategori 'supersports' dalam Siri Super Malaysia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Azlan Temui Cinta Baru

Artikel Lain