Azlan Temui Cinta Baru

Diterbitkan: Isnin, 12 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MENGANGGAP dirinya masih hijau dalam karier selaku pengulas sukan, bekas pemain bola sepak Selangor dan kebangsaan, Azlan Johar mengakui berasa cukup bertuah kerana diberi peluang mengetengahkan bakat dalam bidang itu sempena kehangatan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Meskipun sudah tidak lagi turun padang, Azlan memberitahu sekurang-kurangnya dia dapat menunaikan tanggungjawab sebagai bekas pemain bola sepak dan jurulatih bertauliah untuk memaklumkan kepada peminat bola sepak mengenai sesuatu perlawanan dengan cara sedemikian.

Tidak dinafikan celoteh dan gaya penyampaian pengulas sukan memainkan peranan penting menghidupkan suasana dalam sesuatu perlawanan dan mood penonton itu sendiri. Namun, tugas dalam bidang itu bukanlah mudah. Ia menuntut pemerhatian tajam dan pemahaman seseorang itu mengenai selok-belok pasukan yang akan bertanding.

Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Karier yang awalnya sukar kini lama-kelamaan menjadi lebih mudah dan dia mula serius dalam bidang itu. Sebelum ini, Azlan pernah dijemput rakannya, Zainal Abidin Rawop untuk membuat ulasan dalam beberapa perlawanan di RTM.

“Pada mulanya timbul rasa gugup kerana bimbang andai apa yang ingin diperkatakan tidak sampai kepada peminat. Namun lama-kelamaan saya sudah terbiasa dengan tugas ini,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Pembabitan Azlan, 47, dalam bidang ini hadir tepat pada masanya memandangkan dia suka bersembang mengenai apa jua membabitkan bola sepak. Jadi dia menganggap peluang ‘bercakap’ ketika kedua-dua perlawanan berentap merebut gelaran juara merupakan pengalaman baru dan pembelajaran berguna buatnya.

“Jika dulu saya beraksi di padang, kali ini situasi sedikit berbeza. Saya bercakap mengenai setiap inci pergerakan pemain, aksi kedua-dua pasukan dan kelemahan serta kekuatan mereka dalam mana-mana perlawanan,” katanya.

Menurut Azlan, sebagai pengulas sukan, mereka perlu bersifat neutral dengan memihak kepada kedua-dua pasukan supaya cara penyampaian tidak tampak berat sebelah. Strategi, percaturan jurulatih, formasi dan kerjasama pasukan serta skil individu juga diambil kira untuk memberikan ulasan yang terbaik kepada penonton.

Kebiasaannya, sebelum memulakan tugas, pengulas sukan harus mengkaji latar belakang pasukan untuk diselitkan dalam penyampaian mereka yang disiarkan secara langsung. Bukan itu saja mereka perlu fokus dalam setiap perlawanan supaya ulasan yang diberikan sentiasa meninggalkan kesan kepada penonton.

Bapa kepada tiga orang anak itu memberitahu, setakat ini dia berpeluang menjadi pengulas sukan dalam lebih daripada 10 perlawanan Piala Dunia. Baginya, perlawanan paling seronok pernah dikendalikannya adalah aksi pembukaan di antara Afrika Selatan dan Mexico, kekalahan mengejut Sepanyol kepada Switzerland dan kemenangan besar Jerman ke atas England.

Peminat setia pasukan Sepanyol itu menyifatkan setiap perlawanan akan menjadi lebih menarik jika ianya diulas oleh mereka yang meminati bola sepak dan tahu keinginan penonton. Walaupun tidak terlalu arif dalam bidang itu, dia sentiasa cuba menyampaikan ulasan yang lebih teliti dan baik demi memenuhi kehendak peminat.

“Apa yang saya perkatakan adalah berdasarkan pandangan atau komen saya. Mungkin ada beberapa ulasan yang tidak menepati apa yang dilihat oleh orang lain. Namun ia sedikit sebanyak mengajar saya mengulas sesuatu perlawanan dengan lebih baik,” tambahnya.

Jika tiada aral melintang, Azlan memberitahu dia akan menjadi pengulas sukan perlawanan akhir, kemuncak aksi penentuan juara Piala Dunia 2010 di Astro Arena pada 12 Julai ini.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan