suria

Perhalusi Syarat Wajibkan Penglibatan Dalam Sukan Untuk Layak Ke IPT

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) dalam menyokong usaha kerajaan mewajibkan penglibatan bidang sukan bagi melayakkan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), mahu syarat itu diperhalusi.

Ketua Pengarahnya Datuk Zolkples Embong berkata perkara ini harus diperhalusi bagi memudahkan pelajar melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Syarat baru itu "akan memberikan satu ruang yang lebih kepada para pelajar untuk melibatkan diri dalam bidang sukan dan seterusnya melayakkan diri ke universiti," katanya kepada Bernama selepas merasmikan mesyuarat agung dwitahunan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong dalam akhbar tempatan semalam yang menyatakan kementerian memutuskan menjadikan sukan sebagai syarat wajib memasuki universiti awam dan akan dilaksanakan dengan sistematik secara beransur-ansur di semua sekolah mulai tahun depan.

Sementara itu, Ahmad Khawari Mohd Isa, Ketua Kakitangan Astro Arena mengekalkan jawatannya sebagai Presiden SAM bagi penggal 2010-2012 dalam pemilihan badan itu hari ini.

Jawatan Timbalan Presidennya dimenangi Pengarang Sukan Akhbar Kosmo, Asan Ahmad, sementara jawatan Naib Presiden kini disandang Pengarang Sukan The Star Eric Samuel dan Pengarah Sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Nor Ismadi Manap, manakala jawatan Setiausaha Agung disandang penerbit Astro Arena Faisal Jamal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain