suria

Misi Anak Bangsa Berbasikal Kelilingi Dunia Mulai Khamis Ini

KUALA LUMPUR: Misi dua anak bangsa berbasikal menjelajah dunia sejauh 30,042 kilometer selama 288 hari bagi menjulang moto "Malaysia Boleh, Malaysia Gemilang" akan bermula pada Khamis ini.

Abdul Khalib Zakaria, 39, dan Mohd Aswad Zainal, 24, berharap dapat menamatkan Misi Berbasikal Mengelilingi Dunia Kedua itu pada 26 April 2011.

Mereka merupakan anak didik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Hasan Nawawi, pemegang rekod semasa yang berbasikal mengelilingi dunia selama 389 hari pada awal 2001 hingga awal 2002.

Abdul Khalib dan Mohd Aswad menjalani latihan dan bimbingan daripada penaung mereka sejak tujuh tahun lepas bagi meneruskan kesinambungan Hasan, yang memegang rekod Malaysia's Guiness of Record hasil kejayaan ekspedisinya.

Abdul Khalib berkata mereka akan menempuhi laluan sukar kerana perjalanan melibatkan kawasan tanah tinggi di China iaitu Yunan, Sichuan dan Xinjiang.

"Kawasannya bergunung-ganang dan faktor cuaca juga mencabar kerana di sana kami akan berbasikal di bawah suhu 0 darjah celcius," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan bendera dan sumbangan cek bernilai RM10,000 oleh Panglima Angkatan Tentera Darat Datuk Zulkifli Mohd Zain di bangunan Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.

Abdul Khalib berkata ekspedisi mereka yang paling getir sebelum ini adalah berbasikal selama 100 hari melalui Thailand, Laos, Vietnam dan China sebagai persediaan awal memantapkan kekuatan mental, fizikal serta rohani bagi mencapai matlamat misi Berbasikal Mengelilingi Kedua itu.

Selain itu, mereka juga membuat persiapan dengan mempelajari bahasa asing bagi memudahkan ekspedisi mereka nanti.

"Saya tahu berbahasa Thai dan juga Laos. Saya juga belajar serba sedikit bahasa Mandarin," katanya.

Mereka menetapkan sasaran kayuhan sejauh 140km sehari untuk membuktikan kehebatan anak Malaysia di arena antarabangsa.

Abdul Khalib, anggota komando Tentera Darat dan Mohd Aswad, bekas pelajar Politeknik Ungku Omar, merupakan pemegang rekod "Malaysia's Longest Distance Cycling by A Duo", setelah mereka berjaya mengelilingi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah pada jarak 4,547km dalam tempoh sebulan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain