Terengganu Rancang Dokumentasikan Seni Silat Melayu - Sukan | mStar

Terengganu Rancang Dokumentasikan Seni Silat Melayu

Diterbitkan: Sabtu, 10 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Kerajaan negeri Terengganu merancang untuk mengumpulkan semua tok guru seni persilatan Melayu di negeri itu untuk mendokumentasi ilmu seni pertahanan diri dalam usaha memastikan ia tidak pupus ditelan zaman.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, langkah itu telah lama dilakukan oleh seni mempertahankan diri yang lain seperti taekwondo dan judo termasuk merakamkan aksi bagi menarik minat dan memudahkan orang ramai mempelajarinnya.

"Saya sedih bila melihat banyak gelanggang silat yang terpaksa ditutup kerana kurang sambutan sedangkan seni warisan ini tidak harus dibiarkan pupus dan generasi baru seharusnya kembali memperkasakan seni mempertahankan diri ini.

"Namun apa yang kita lihat pada masa kini kebanyakan tok guru tidak menurunkan semua jurus dan buah silat yang ada pada mereka kerana kononnya bimbang anak murid akan lebih pandai daripada mereka dan menderhaka.

"Ini menyebabkan ilmu tersebut semakin pupus dan oleh itu kerajaan negeri merasakan kita perlu mengumpul semua tok guru di negeri ini untuk mendokumentasikan semua jurus dan buah terbaik dalam perguruan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pentauliahan kepada 87 guru silat Terengganu di Padang Astaka di sini hari ini yang turut sertai oleh lebih 6,000 pesilat dari Terengganu, Kelantan, Johor, Perak dan Pahang.

Difahamkan di Terengganu terdapat sebanyak 145 buah persatuan perguruan persilatan yang berdaftar termasuk Silat Cekak Hanafi, Silat Gayong, dan Silat Cekak Malaysia.

Ahmad berkata untuk menggalakkan lebih ramai golongan muda melibatkan diri dalam seni mempertahankan diri itu, beliau akan meminta Exco yang berkaitan supaya mengkaji satu bentuk imbuhan kepada pesilat.

Dalam hal yang berkaitan, beliau turut mengingatkan pesilat agar tidak menyalahgunakan ilmu yang ada pada mereka untuk melakukan perbuatan jenayah, sebaliknya harus digunakan untuk tujuan kebaikan.

Beliau turut meminta setiap tok guru memantau anak didik mereka dan mengadakan latihan yang lebih bersistematik. -BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan