Skuasy Terbuka Kebangsaan: Azlan Berdepan Cabaran Getir

Diterbitkan: Sabtu, 10 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pilihan utama dan pemain pada ranking ke-18 dunia, Mohd Azlan Iskandar ternanti-nantikan cabaran getir daripada rakan senegara dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Kebangsaan 2010, yang akan bermula Selasa ini di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil.

Anak kelahiran Sarawak berusia 28 tahun ini menamakan beberapa pemain yang dianggap akan memberi saingan sengit dalam usahanya memburu kejuaraan perseorangan lelaki.

"Ong Beng Hee, Ivan Yuen Chee Wern, Kamram Khan dan beberapa orang lagi pemain kebangsaan semakin meningkat naik, jadi sesiapa pun boleh menang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Azlan bagaimanapun agak kecewa dengan tahap kecergasannya.

"Tahun ini agak mengecewakan ekoran beberapa kecederaan dan keuzuran.

Bagaimanapun, saya berlatih dengan gigih dan tumpuan sekarang ialah untuk berada semula dalam kelompok 16 teratas dan mula melakukan peningkatan," katanya.

Kejohanan lima hari itu akan menyaksikan pemain skuasy terbaik Malaysia bertarung bagi meraih gelaran juara kebangsaan.

Keseluruhannya, enam kategori akan dipertandingkan iaitu Premier Lelaki dan Premier Wanita, Bahagian 2 Lelaki dan Wanita, Bahagian 3 Lelaki dan Veteran Lelaki (atas 45).

Sejumlah 16 pemain Malaysia yang berada pada ranking teratas dalam kategori lelaki dan wanita telah pun mengesahkan penyertaan mereka.

Antara pemain yang dijadual beraksi merebut kejuaraan Premier Wanita ialah pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David selain Delia Arnold, Low Wee Wern dan Sharon Wee.

Senarai pemain: Kategori Premier Lelaki

1. Mohd Azlan Iskandar

2. Ong Beng Hee

3. Mohd Nafiizwan Mohd Adnan

4. Mohd Asyraf Azan

5. Ivan Yuen Chee Wern 6. Kamran Khan

7. Choong Kam Hing

8. Ng Jo Wen

Kategori Premier Wanita

1. Datuk Nicol Ann David

2. Delia Arnold

3. Low Wee Wern

4. Sharon Wee

5. Siti Munirah Jusoh

6. Pushppa Devi

7. Zulhijjah Azan

8. Nessrine Arrifin

- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan