suria

Lebih Ramai Lagi Atlet Dihantar Sukan Olimpik Remaja 2010

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menambah jumlah penyertaan atlet remaja negara ke edisi pertama temasya Sukan Olimpik Remaja yang berlangsung di Singapura pada 14 hingga 26 Ogos depan.

Setiausaha Kehormatnya Datuk Sieh Kok Chi berkata penambahan itu dibuat berikutan ada beberapa orang atlet yang baru melayakkan diri untuk sertai kejohanan tersebut.

"Oleh kerana ini adalah edisi pertama kita tidak dapat kenali atlet manakah yang betul-betul layak dan siapakah pesaing mereka.

"Pemilihan atlet dibuat berdasarkan senarai nama atlet yang dicadangkan oleh persatuan sukan mengikut jumlah 'point'," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya penambahan bilangan atlet untuk menggalas cabaran negara ke Singapura hanya melibatkan beberapa atlet sahaja.

Sieh berkata disebabkan ini adalah kali pertama sukan itu dianjurkan, MOM tidak mengharapkan sesuatu yabg besar daripada temasya itu.

"Temasya ini berguna kepada atlet remaja sebagai persiapan dan pendedahan awal mereka sebelum melangkah kaki ke kejohanan dunia yang lebih besar daripada itu," katanya.

Beliau juga berharap atlet-atlet beragama Islam tidak akan menghadapi masalah walaupun terpaksa beraksi sepanjang Ramadan.

"Saya kurang bersetuju temasya ini dianjurkan pada Ramadan kerana ramai atlet khususnya dari negara-negara Islam di Asia Tenggara yang menjalani ibadat puasa pada ketika itu," katanya.

Sebelum ini, MOM membuat pengumuman seramai 13 atlet dari acara renang, terjun, angkat berat, badminton, gimnastik berirama, olahraga dan pelayaran menyertai kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel Lain