suria

Pembawa Obor Bakal Kelilingi Singapura Enam Hari

SINGAPURA: Singapura, yang bakal menganjurkan kejohanan sulung Sukan Olimpik Belia Singapura (YOG Singapura) 2010 bulan depan, telah membariskan seramai 2,400 orang bagi membawa obor kejohanan dalam larian berganti-ganti selama enam hari mengelilingi negara pulau itu.

Pembawa obor akan mengelilingi Singapura dengan melalui kawasan kediaman, taman, sekolah, tapak bersejarah, tempat menarik dan daerah kewangan serta sivik negara berkenaan, sebelum kejohanan itu bermula secara rasmi pada 14 Ogos ini.

Mengumumkan laluan bagi larian obor itu sebagai yang terpanjang dan terbesar pernah diadakan, jawatankuasa penganjur YOG Singapura 2010 hari ini berkata, ia akan bermula 7 Ogos depan dan meliputi 305 kilometer iaitu bersamaan jarak enam kali mengelilingi keseluruhan pulau tersebut.

Bagi membangkitkan rasa keterujaan terhadap larian obor itu, penganjur telah memasukkan perjalanan ke Resort Pulau Sentosa di mana pembawanya akan melakukan aktiviti "flying fox" dan turun melalui kanopi hutan pada ketinggian 72 meter dari paras laut.

Acara kemuncak lain termasuk berlari melalui Zoo Singapura, Taman Botani Singapura, dan obor akan dibawa melalui cara pelik seperti menunggang basikal dan menaiki bot naga.

Penganjur YOG Singapura juga merancang supaya pembawa obor menyeberangi Empangan Marina dari Taman Merlion ke jeti Marina Bay Sands, iaitu sebuah resort bersepadu terkini di negara itu yang juga merupakan pusat media rasmi kejohanan. - BERNAMA

Artikel Lain