Chong Wei Menang Mudah - Sukan | mStar

Chong Wei Menang Mudah

Diterbitkan: Rabu, 7 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Seperti yang dijangka, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei melangkah mudah ke peringkat seterusnya pada Grand Prix Gold Terbuka Malaysia apabila menewaskan pemain England Bhokanandh Arak dengan keputusan 21-8, 21-10 di Stadium Bandaraya Johor Baharu di sini, hari ini.

Dengan ketiadaan pemain China, satu-satunya penghalang Chong Wei untuk memenangi kejohanan itu, yang bermula hari ini, ialah pemain Indonesia Taufik Hidayat yang menumpaskan pemain Malaysia Ayub Nur Mohd Azriyn 21-15 21-18.

Chong Wei yang enggan mengulas peluangnya dalam kategori perseorangan, berkata kakinya sedikit sakit ketika bermain, namun ia tidak serius.

Turut mara dalam kategori lelaki perseorangan ialah Wong Choon Han, yang mengalahkan pemain Indonesia Pratama Adi dengan 21-14, 21-9.

Muhammad Hafiz Hashim turut mara selepas mengalahkan pemain Belanda Afif Saber 21-12, 21-15, walaupun beliau dikatakan sakit kaki.

Muhammad Hafiz dijangka bertemu Choon Han pada suku akhir kejohanan itu, sekiranya sakit di kakinya tidak menjadi penghalang.

Beregu campuran negara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying pula melangkah ke peringkat seterusnya selepas mengalahkan beregu Hong Kong Lo Lok Kei dan Mong Kwan Yi 21-13, 21-14.

Tan Wee Kiong dan Woon Khe Wei pula mengalahkan beregu campuran Indonesia Wardana Tri Kusuma dan Melati Nadya 21-15, 21-18.

Sebanyak 38 perlawanan perseorangan lelaki dan 16 bagi beregu campuran berlangsung sehingga 2 petang tadi, sebelum disambung dengan perlawanan pusingan pertama bagi perseorangan wanita dan pusingan kedua perseorangan lelaki pada 6 petang. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan