suria

Torres Mungkin Angkat Kaki Dari Liverpool

EJEN Fernando Torres, Jose Antonio Martin mengakui penyerang berusia 26 tahun itu akan meninggalkan Liverpool dan menyarung jersi bersama kelab Liga Perdana Inggeris baru.

Dia sentiasa dikaitkan dengan perpindahan dari Anfield ekoran kemerosotan Liverpool sepanjang kempen musim lalu apabila sekadar menduduki tempat ketujuh dalam aksi EPL dan terlepas aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Pemergian bekas Pengurus Rafael Benitez menguatkan lagi khabar angin bahawa Torres akan berhijrah ke kelab lain.

Baru-baru ini pengurus baru Roy Hodgson enggan memberi jaminan kepada peminat bahawa penyerang sensasi itu akan kekal bersama The Reds musim depan.

"Dia mungkin kekal dalam aksi EPL tetapi bukan bersama Liverpool. Buat masa ini, anda tidak boleh memberi jaminan bahawa dia akan kekal di sini," kata Martin.

Barcelona dipercayai sedang berusaha untuk mendapat khidmat penyerang prolifik itu tetapi kenyataan itu disangkal ejennya.

"Perpindahan itu mustahil. Barcelona sudah membawa masuk David Villa dan kini mereka mahu melaburkan wang tersebut terhadap pemain lain," tambahnya.

Buat masa ini, perbincangan Torres dengan Hodgson masih ditangguhkan kerana dia masih menjalankan tugas bersama Sepanyol pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

"Saya belum berbincang dengan Hodgson tetapi akan bertemu dengannya segera. Selepas tamat aksi Piala Dunia barulah saya akan membuat keputusan mengenai masa depan saya," ujarnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain