suria

MSN Diberi Mandat Cari Kaedah Baru Hakimi Acara Sukan Subjektif

PUTRAJAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) akan diberi mandat bagi mencari kaedah sesuai dalam menghakimi acara sukan subjektif pada setiap kejohanan utama, termasuk Sukan Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata mekanisme penghakiman itu perlu dikaji semula agar ia tidak lagi dimanipulasi pihak tertentu untuk memberi penghakiman yang tidak adil dan berat sebelah.

Beliau berkata sukan subjektif juga cenderung dilibatkan dalam gejala rasuah kerana corak penghakiman yang tidak statik.

"Ada kalangan negara-negara yang meminta supaya sukan subjektif ini tidak lagi dipertandingkan, tetapi ia adalah mustahil untuk dilakukan kerana ia sememangnya telah diiktiraf.

"Kita mahu pastikan agar mekanisme penghakiman selepas ini lebih telus dan terperinci," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Sukan bersama exco Belia dan Sukan di kementerian itu di sini, pada Isnin.

Ahmad Shabery berkata terdapat beberapa kes dilaporkan melibatkan penghakiman sukan subjektif sebelum ini termasuk di temasya sukan yang lebih besar seperti Sukan SEA.

"Kita perlukan kaedah yang sesuai, termasuk menentukan jenis tindakan terhadap pengadil yang memberikan penghakiman yang berat sebelah atau pengadil yang menerima rasuah ketika mengadili perlawanan.

"Ada kes seumpama ini dilaporkan, dan mungkin kaedah itu termasuk melarang penggunaan pengadil dari persatuan, sebaliknya dipilih dari negeri-negeri yang bertanding agar tidak timbul isu berat sebelah atau sebagainya," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain