suria

Adib Azam Bangkit Di Gong Badak

Adib mahu bangkit pada perlumbaan hujung minggu ini.
Adib mahu bangkit pada perlumbaan hujung minggu ini.
Adib mahu bangkit pada perlumbaan hujung minggu ini.

MOHD Adib Rosley mahu memastikan perlumbaan Pusingan 5 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu pada 9 dan 10 Julai ini menjadi pentas kebangkitannya untuk memburu gelaran juara keseluruhan kelas Wira.

Terdahulu, pelumba Motul Yamaha YY Pang itu yang gagal merebut peluang mengutip sebarang mata pada dua perlumbaan awal ekoran masalah mekanikal, kembali dengan dua kemenangan berturut-turut pada Pusingan 3 (Batu Kawan) dan Pusingan 4 (Litar Antarabangsa Sepang).

Kejayaan itu meletakan dirinya kembali menjadi pencabar kejuaraan musim ini dengan kutipan 50 mata, kurang 10 mata daripada pendahulu kedudukan keseluruhan ketika ini, Mohd Syawalludin Mohd Zaki (Modenas FortyOne Racing) yang mengutip 60 mata.

Adib kini berada di tempat kelima manakala rakan sepasukan yang juga juara Wira epg 2009, Mohd Azahar Abdul Jalil berada di tempat kedua dengan 57 mata, hanya tujuh mata di depan Adib.

Tempat ketiga dan keempat pula menjadi milik pelumba Mohd Fitri Ashraf Razali (Caviaga Modenas Cilik Racing) dan Amirul Hafiq Mohd Azmi (MOS Yamaha Racing) dengan 54 dan 53 mata ketika ini.

Pelumba berusia 16 tahun kini berada pada kedudukan yang baik untuk mengejar mahkota juara musim ini.

“Saya berada pada kedudukan ke-20 tanpa sebarang mata sebaik berakhirnya cabaran Pusingan 2 lepas. Hanya pada Pusingan 3 dan Pusingan 4, kedudukan saya berubah. Dari kedudukan terbawah saya kini melonjak ke anak tangga kelima sekali gus berjaya memberi keyakinan semula untuk mencabar kejuaraan ini.

“Biarpun masih ketinggalan kepada Syawal (pendahulu), saya tetap merasakan ia adalah permulaan baik dan berharap dapat menambah lagi jumlah mata selepas ini,” ujar Adib yang muncul naib juara kategori Wira musim lepas.

Dalam usaha untuk mengejar sasaran pada masa singkat, Adib berhasrat untuk muncul juara sekali lagi. Dia tidak memikirkan catatan peribadi (gelaran hatrik) tetapi mahu terus mencipta kemenangan dan mengutip mata maksimum.

“Tahun lepas, rakan sepasukan muncul juara keseluruhan dan saya harap musim ini akan berpihak kepada saya. Dengan baki enam pusingan lagi, saya cukup yakin untuk beraksi secara konsisten pada setiap perlumbaan.

"Namun saya tetap berdoa agar segala malapetaka buruk seperti masalah mekanikal pada jentera tidak berulang lagi. Saya tidak mampu menerima satu lagi keputusan DNF ( tidak menamatkan saingan) pada mana-mana pusingan selepas ini,” jelas Adib.

Artikel Lain