suria

Nasib Azraai Khor Belum Diputuskan:FAM

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum membuat keputusan mengenai nasib jurulatih Harimau Muda, Mohd Azraai Khor Abdullah dan dua penolongnya, yang digantung tugas selepas selesai menjalani latihan pendedahan di Slovakia.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, semalam menjelaskan bahawa mesyuarat jawatankuasa itu kelmarin hanya mendengar penjelasan daripada Azraai Khor, penolongnya Azman Eusoff dan jurulatih penjaga gol, P. Mohana Sundram.

Katanya, jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat sekali lagi pada 17 Julai ini untuk mencapai keputusan sebelum ianya mendapat perkenan presiden FAM, Sultan Ahmad Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan.

"Sebarang keputusan yang akan dibuat tidak boleh diberitahu secara umum, ia bagi menghormati Tuanku sebagai presiden," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan bola di sini.

Azraai Khor, Azman dan Mohana digantung tugas daripada terus mengendalikan pasukan itu, Isnin lalu, selepas skuad itu pulang dari misi ke Slovakia pada awal bulan lepas.

Skuad Harimau Muda menjalani latihan selama lebih tiga bulan di Slovakia sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA di Bali, Indonesia, tahun depan.

Adalah difahamkan wujud perselisihan faham dalam pasukan ketika berada di Slovakia.

Azzuddin berkata FAM akan lebih teliti dari segi pemilihan jurulatih dan pemain untuk mengelakkan insiden 'tidak sehaluan' berulang selain memastikan pengurusan pasukan dalam keadaan baik.

Pengendali skuad itu kini diambil alih sementara oleh ketua jurulatih kebangsaan K.Rajagobal.

Sebelum itu, Azzuddin menyerahkan sumbangan 50 biji bola tajaan AEO NCO.(M) Bhd kepada 30 sekolah dari sekitar Lembah Klang, dengan disaksikan pengarahnya Nagahisa Oyama.

Sebanyak 10,000 bola diagihkan kepada 190 buah sekolah menengah dan rendah di seluruh negara mulai pertengahan Jun sehingga 8 Julai ini bersempana Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Van Persie Dibawa Ke Hospital

Artikel Berikut

Artikel Lain