suria

Subkhiddin Sedia Galas Tanggungjawab Di Piala Dunia FIFA 2010

PETALING JAYA: Selepas memulakan karier sebagai pengadil bola sepak 20 tahun lepas diperingkat daerah, Subkhiddin Mohd Salleh kini teruja apabila berada di kemuncak dunia.

Beliau kini sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab selaku pengadil di Piala Dunia Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) yang akan berlangsung di Afrika Selatan dari 11 Jun hingga 11 Julai ini.

"Saya berharap dengan pemilihan saya ini akan menimbulkan satu inspirasi kepada pengadil-pengadil yang lain, mahupun generasi muda untuk melibatkan diri dalam bidang pengadilan bola sepak.

"Sebagai seorang pengadil bola sepak, sememangnya semua menginginkan untuk menjadi pengadil di Piala Dunia. Inilah 'ultimate goal' bagi seorang pengadil," kata pengadil yang berusia 43 tahun itu pada sidang akhbar khas di Wisma FAM, Kelana Jaya dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Jurulatih Datuk Raja Ahmad Zainuddin.

Pemilihan oleh Fifa itu menjadikan Subkhiddin sebagai rakyat Malaysia pertama yang dipilih sebagai pengadil perlawanan.

Seramai 30 pengadil akan bertugas mengendalikan 64 perlawanan sepanjang kejohanan yang berlangsung selama sebulan itu.

Untuk rekod, sebelum ini dua rakyat Malaysia juga pernah berkhidmat sebagai pembantu pengadil, iaitu Allahyarham Kapten Halim Abdul Hamid di Piala Dunia 1998 di Perancis dan Mat Lazim Awang Hamat pada 2002 ketika Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah bersama.

Subkhiddin, seorang guru di SM Vokasional Nibong Tebal, berasal dari Bagan Ajam, Pulau Pinang dan mempunyai kelayakan sebagai pengadil Fifa sejak tahun 2000. "Setibanya di sana, saya dan lain-lain pengadil perlawanan yang telah dipilih akan terus menjalani latihan penyesuaian. Selain latihan fizikal, kami juga akan didedahkan dengan aplikasi undang-undang pertandingan dalam satu perlawanan ujian yang melibatkan pemain-pemain remaja di sana," katanya.

Menurut beliau, sebagai calon pengadil perlawanan bola sepak Piala Dunia, mereka perlu bersedia sejak tahun 2007 daripada segi fizikal, mental dan psikologi.

Semasa menjalankan tugasan di Piala Dunia Fifa 2010, Subkhiddin akan dibantu dua penjaga garisan iaitu Yuxin Mu dari China dan Jeffrey Gek Pheng dari Singapura.

"Bila saya mula berkecimpung sebagai pengadil Fifa pada tahun 2000, orang pertama yang mendekati saya ialah Allahyarham Ahmad Nazri Abdullah. Saya sering menjalani latihan bersama Allahyarham dan beliau selalu memberi galakan kepada saya untuk menjadi yang terbaik," katanya mengimbas kembali detik permulaan beliau selaku pengadil Fifa pada tahun 2000.

Beliau akan bersara daripada menjadi pengadil di peringkat antarabangsa pada 2012 memandangkan Fifa menghadkan umur pengadil Fifa tidak melebihi 45 tahun.

"Memang sedih juga untuk bersara tetapi disebabkan oleh faktor usia, saya perlu terima hakikat itu. Saya berharap akan ada lebih ramai lagi pengadil dari Malaysia yang dapat membawa nama baik negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau akan berangkat esok ke ibu negara Afrika Selatan, Johannesburg, untuk memulakan tugasannya di Piala Dunia.

Bagaimanapun, disebabkan terikat dengan perjanjian dan garis panduan Fifa, Subkhiddin tidak dibenarkan memaklumkan perlawanan yang akan dikendalikannya semasa Piala Dunia nanti.

Selain Subkhiddin, dua wakil FAM akan turut akan terlibat pada Piala Dunia Fifa 2010 iaitu Datuk Dell Akhbar Khan (Keselamatan) dan Paul Windsor (komisioner perlawanan dan koordinator venue).

Artikel Lain