suria

Selangor Kekalkan Kelebihan Lapan Mata Berbanding Kelantan

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super, Selangor mengekalkan kelebihan lapan mata berbanding pencabar terdekat, Kelantan apabila menewaskan Perlis 2-0 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Skuad Merah Kuning itu membuka jaringan seawal minit ketujuh permainan melalui Mohd Rudie Ramli yang menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Farizal Marlias.

Bekas penyerang kebangsaan itu kemudiannya menambah gol kedua tuan rumah pada babak kedua dengan jaringan pada minit ke-64 untuk membolehkan Selangor mengumpul 50 mata secara keseluruhan.

Kelantan pula mengumpul 42 mata setelah bangkit menewaskan Pulau Pinang 3-1 di Stadium Batu Kawan setelah tersentak dengan gol awal tuan rumah melalui Chun Ken Hong pada minit ke-22.

Skuad bimbingan B.Sathianathan itu bangkit dengan tiga gol pada separuh masa kedua melalui Hairuddin Omar (m-66), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-75) dan Che Hishammuddin Hassan (m-88).

Terengganu pula kekal di tangga ketiga liga dengan 37 mata walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Kuala Lumpur di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur di Cheras.

Dalam pada itu, jaringan tunggal Azizan Baba pada minit ke-82 membolehkan Johor FC menumpaskan Perak 1-0 di Stadium JCorp di Pasir Gudang untuk berada di tempat keempat dengan 32 mata.

Negeri Sembilan pula kembali menjumpai sentuhan kemenangan apabila membelasah Johor 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan Abdul Halim Zainal membuka jaringan seawal minit ketiga permainan untuk tuan rumah.

Penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak turut menemui sentuhan gol apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-65 dan 78 manakala gol saguhati pelawat dijaringkan melalui L.Rajesh pada minit ke-77.

T-Team pula sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu. - BERNAMA

Artikel Lain