suria

Kejohanan Berbasikal Bukit Antrabangsa Langkawi Dijangka Tarik 800 Peserta

KUALA LUMPUR: Kejohanan pertama Langkawi International Mountain Bike Challange di Pulau Langkawi pada 7 dan 8 Ogos ini dijangka menarik 800 peserta dari seluruh dunia.

Datuk Malik Mydin, Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage (M) Sdn Bhd, merupakan penganjur kejohanan berkenaan, berkata sehingga kini 300 pelumba telah mengesahkan penyertaan.

"Selain daripada peserta tempatan, kita juga mendapat penyertaan dari Singapura, Jerman, Belanda dan Thailand," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Malik berkata kejohanan dua hari itu akan melibatkan empat kategori dalam acara rentas desa iaitu remaja lelaki (18 tahun ke bawah), lelaki elit (19 tahun ke atas), wanita elit (19 tahun ke atas) dan lelaki masters (35 tahun ke atas).

Satu lagi acara yang dipertandingkan ialah lasak di mana penyertaannya adalah terbuka.

Bagi menarik penyertaan terutamanya pelumba-pelumba tempatan, sejumlah RM250,000 diperuntukkan kepada sebagai hadiah kepada para pemenang termasuk hadiah cabutan bertuah untuk peserta.

"Selain itu, 500 peserta pertama yang mendaftar akan turut mendapat penginapan percuma sepanjang kejohanan berkenaan berlangsung," katanya.

Malik berkata tarikh tutup bagi kejohanan ialah 30 Jun ini dan mereka yang berminat boleh mendaftar secara terus di laman web www.mtbmalaysia.com.

Artikel Lain