suria

Kelantan Disaran Permudah Kelulusan Tanah Untuk Laksana Projek Sukan

KOTA BAHARU: Kerajaan PAS Kelantan disaran supaya mempermudahkan proses kelulusan tanah bagi melaksanakan projek pembangunan sukan di bawah Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK).

Pengerusi MSNK, Mohd Jazlan Yaakob berkata kegagalan kerajaan negeri meluluskan tanah menyebabkan Kerajaan Persekutuan lambat menyiapkan projek pembinaan Kompleks Sukan Komuniti di setiap kawasan Parlimen yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata di bawah projek itu, kerajaan pusat bercadang membina sebuah kompleks sukan di setiap kawasan Parlimen berharga RM150,000 merangkumi gelanggang pelbagai jenis sukan untuk kemudahan masyarakat setempat.

Kompleks yang juga dikenali sebagai "Gelanggang Rakyat" itu sesuai dengan hasrat kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan bagi melahirkan masyarakat meminati sukan berasaskan satu kawasan satu jenis sukan, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, jika kerajaan gagal berbuat demikian ia akan membantutkan usaha Kerajaan Pusat untuk membangunkan bidang sukan di negeri ini kerana soal tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Beliau berkata, MSNK sedar kekurangan pusat latihan sukan menyebabkan atlet Kelantan tidak dapat membuktikan kehebatannya dalam arena sukan sedangkan mereka ternyata mempunyai kebolehan.

"Jika adanya kemudahan itu, kita yakin atlet Kelantan akan dapat diketengahkan kerana mereka berkebolehan dan berbakat," katanya.

Beliau juga kesal kerana kerajaan negeri gagal membantu MSNK dalam pembangunan sukan di negeri ini bagi membina prasarana sukan, termasuk gelanggang bola sepak, futsal, badminton dan pelbagai jenis sukan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan memperuntukkan RM20 juta untuk menaikkan taraf Kompleks Sukan Panji, selain beberapa kompleks sukan di peringkat jajahan.

"Untuk membiayai atlet mewakili Kelantan ke kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka Jun ini, MSNK terpaksa membelanjakan RM350,000 dana daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan sebahagian daripadanya sumbangan JPP," katanya.

Artikel Lain