suria

340 Pemain Muda Berentap Pada Kejohanan Sirkit Akhir Di Kuantan

KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Sirkit Akhir Remaja Kebangsaan 100Plus 2010 di Kuantan, Pahang, mulai Rabu ini, merupakan medan pemilihan pemain berbakat untuk diserapkan ke dalam dalam skuad pelapis negara.

Pengurus Hal-Ehwal Kebangsaan Korporat Fraser & Neave (F&N) Datuk Kamal Harun berkata pegawai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memantau persembahan pemain..

Seramai 340 pemain layak untuk bersaing dalam empat kategori pada sirkit akhir iaitu dalam acara bawah 12 tahun, bawah 14, bawah 16 dan bawah 18 tahun, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kejohanan lima hari itu akan berlangsung di Dewan Persatuan Badminton Pahang di Kuantan selepas tiga pusingan peringkat zon diadakan sebelum ini.

Zon A terdiri daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan, Zon B (Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur) manakala Zon C terdiri daripada negeri Sabah dan Sarawak.

Kamal berkata kejohanan remaja itu telah melahirkan beberapa pemain kebangsaan sebelum ini seperi beregu nombor satu dunia, Tan Boon Heong/Koo Kien Keat dan pemain Piala Thomas Hoon Thein How, Sannatasah Saniru dan pemain Piala Uber Sonia Cheah. - BERNAMA

Artikel Lain