suria

Peninju Muda Semakin Menyerlah

KUALA LUMPUR: Setelah berjaya memenangi dua pingat emas di Sukan Sea di Laos tahun lepas, peninju-peninju kebangsaan terus mempamerkan peningkatan di peringkat antarabangsa.

Terbaru peninju kebangsaan memenangi tiga pingat emas dan satu perak di Kejohanan Tinju Jemputan Antarabangsa Acheh di Indonesia yang berlangsung awal bulan ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Tinju Amatur Malaysia Mejar (B) Maulud Othman berkata peninju terbabit adalah Mohd Fuad Riduan (kategori 48 kg), Mohd Hafiz Arqam (60 kg) dan Mohd Khir Azlan Azmi (64kg).

"Biarpun kejohanan ini hanya melibatkan dua negara iaitu Indonesia dan Malaysia, kejayaan yang diperoleh membuktikan bahawa peninju muda kita mempunyai potensi ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada Bernama hari ini.

Maulud berkata beliau merasa bangga dengan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh barisan peninju muda biarpun mereka masih baru dalam dunia tinju.

"PTAM harap semangat sedemikian dapat terus dikekalkan dalam diri setiap peninju muda kerana dua peninju muda dari skuad pelapis akan dipilih untuk menggalas cabaran ke Sukan Komanwel di India pada Oktober nanti," katanya.

Maulud berkata PTAM bercadang menghantar enam peninju yang terdiri daripada empat peninju elit dan dua peninju dari skuad pelapis.

"Antara peninju yang dicadangkan oleh PTAM ke Sukan Komanwel ialah pemenang pingat emas di Sukan Sea Laos iaitu Mohd Farkhan Mohd Haron dan Fairus Azwan Abdullah. Namun demikian keputusan akhir bakal dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia," katanya.

Artikel Lain