suria

Jangan Salahkan Media Skuad Piala Thomas Gagal, Kata SAM kepada BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) menyifatkan tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengaitkan wartawan sukan dan media tempatan sebagai antara punca kegagalan skuad badminton negara pada kejohanan Piala Thomas baru-baru ini sebagai jalan mudah persatuan itu melepaskan tanggungjawabnya.

Presiden SAM Ahmad Khawari Isa berkata BAM sepatutnya lebih teliti mencari punca sebenar kegagalan skuad kebangsaan melangkah ke perlawanan akhir Piala Thomas selepas tewas 0-3 kepada China di peringkat separuh-akhir dan bukan sekadar menuding jari ke pihak lain.

"Berdasarkan penelitian di sepanjang tempoh persiapan skuad negara dan ketika kejohanan, wartawan dan media tempatan memainkan peranan selaku sahabat BAM menerusi penulisan dan pemaparan berita yang positif," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Presiden BAM Datuk Mohd Nadzmi Salleh semalam berkata antara faktor yang dibangkitkan pemain sebagai punca persembahan hambar mereka ialah kehadiran pihak media dan juga berita yang disiarkan yang tampak mengganggu persediaan.

Pada pertemuan antara beliau dan skuad negara itu, terdapat juga cadangan untuk menghadkan pertemuan antara pemain dan pihak media.

Ahmad Khawari berkata amalan wartawan dan media tempatan menemubual pemain selepas sesi latihan adalah sesuatu yang berlaku sejak dahulu lagi dan tidak pernah dianggap mengganggu pemain negara.

"Dengan pemain-pemain berstatus profesional serta dilimpahi perhatian khusus, mereka seharusnya tahu tanggungjawab yang dipikul tanpa perlu menyalahkan kehadiran media sebagai pengacau," katanya.

SAM berharap BAM akan menangani hubungannya bersama media dengan pendekatan rasional dan tidak bersikap terburu-buru hingga menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua pihak yang terjalin sekian lama.

Artikel Lain