suria

Sukma: Perlis Sasar 10 Emas

KANGAR: Perlis meletakkan harapan tinggi terhadap tiga atlet kebangsaan kelahiran negeri ini untuk membawa pulang kilauan emas dalam menghadapi cabaran Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka bulan depan.

Mereka ialah dua atlet angkat berat iaitu Faiz Musa dan Fatin Atikah Othman serta pelumba basikal, Jupha Somnet yang masing-masing menjanjikan dua emas untuk Perlis.

Ketiga-tiga mereka semalam menerima insentif sebanyak RM1,000 daripada kerajaan negeri kerana pencapaian cemerlang dalam bidang sukan, yang disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Md Isa berkata Perlis meletakkan sasaran 10 pingat emas pada Sukma dan berharap enam pingat dapat disumbang oleh ketiga-tiga atlet itu.

Faiz, 21, dan Fatin Atikah, 17, adalah atlet yang menyerlah pada kejohanan-kejohanan bertaraf antarabangsa dan mereka akan bertanding dalam dua kategori iaitu Snatch dan kategori Clean and Jerk pada Sukma kali ini.

Sementara itu, Jupha Somnet, 17, yang baru-baru ini memenangi dua pingat perak dan dua gangsa pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Dubai April lepas, juga menjadi sandaran Perlis untuk membawa pulang dua pingat emas. Pada Sukma kali, pelumba wanita itu akan membawa cabaran dalam dua kategori iaitu lebuh raya dan trek.

Artikel Lain