Anuar Manan Terima Ganjaran Dari Kerajaan Terengganu

Diterbitkan: Rabu, 19 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Raja pecut Le Tour de Langkawi Anuar Manan hari ini menerima sumbangan RM10,000 serta sebidang tanah daripada kerajaan negeri Terengganu. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said selepas beliau mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri.

Ahmad berkata tanah tersebut seluas 449 meter persegi bernilai RM36,000 yang terletak di kawasan Tok Adis Kuala Ibai.

"Ini adalah sebahagian komitmen kerajaan negeri terhadap atlet-atlet sukan yang berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Ahmad berkata Terengganu akan menubuhkan pasukan Le Tour de Langkawi sendiri secepat mungkin.

Langkah itu bertujuan untuk membolehkan pasukan itu menyertai kejohanan lumba basikal bukan sahaja di dalam negara tetapi juga pertandingan di luar negara, katanya.

"Kita akan bincangkan dalam exco untuk menubuhkan pasukan ini," katanya.

Ahmad berkata Terengganu memerlukan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk menubuhkan pasukan tersebut.

Sementara itu, Anuar berkata beliau ingin balik ke Terengganu sekiranya mempunyai pekerjaan tetap di negeri itu.

Pada masa ini beliau menetap di Kuala Lumpur.

"Kayuh basikal belum tentu menjamin masa depan," katanya.

Anuar yang mewakili sebuah kelab lumba basikal dari Korea akan menghadapi dua kejohanan antarabangsa iaitu Singapore Endurance Race di Singapura ari 27 hingga 28 Mei ini dan De Tour Jakarta pada 13 Jun depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan