Skuad Boling Padang Ke Komanwel New Delhi Diumumkan - Sukan | mStar

Skuad Boling Padang Ke Komanwel New Delhi Diumumkan

Diterbitkan: Sabtu, 15 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Persekutuan Boling Padang Malaysia (MLBF)menyuarakan keyakinan bahawa skuad boling padang negara ke Sukan Komanwel di New Delhi Oktober ini akan dapat meraih empat pingat emas.

Presidennya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid semasa mengumumkan nama atlet yang terpilih mewakili negara, di sini hari ini berkata sasaran emas itu adalah realistik berdasarkan prestasi pemain sebelum ini dan pada masa sekarang.

Beliau berkata antara kriteria pemilihan ialah berdasarkan prestasi skuad elit dan skuad pelapis kebangsaan selama dua tahun kebelakngan ini, dari sistem ranking yang diwujudkan MLBF, serta prestasi pemain yang bukan dari skuad pelapis mahupun elit tetapi telah menang di peringkat nasional dan telah diketengahkan di arena antarabangsa.

Penilaian para jurulatih terhadap pemain turut diambil kira, katanya.

"Sasaran empat pingat emas adalah berasas. Pemain sentiasa dedikasi, dan kita membuat pilihan terbaik berdasarkan pengalaman dan kemahiran pemain.

"Saya sendiri akan terus memantau bagaimana para jurulatih menyusun strategi setiap pemain skuad negara," katanya kepada pemberita.

Dalam kejohanan Komanwel 2006 di Melbourne, acara boling padang menyumbang dua daripada tujuh emas yang diperolehi Malaysia.

Pemain yang terpilih ialah Safuan Said (single lelaki), Siti Zalina Ahmad (single wanita), Fairul Izwan Abd Muin dan Khairul Anuar Abd Kadir (pair lelaki) dan Nur Iryani Azmi serta Norhashimah Ismail (pair wanita).

Azim Azami Mohd Ariffin, Mohd Amir Yusof dan Syed Mohamed Syed Akil (triple lelaki) beserta pemain simpanan Mohamad Hizlee Abd Rais.

Triple wanita terdiri daripada Nur Fidrah Noh, Azlina Arshad dan Zuraini Khalid serta pemain simpanan Nor Shafeeqah Yahya.

"Bagi mereka (anggota elit) yang tidak terpilih, mereka akan terus berlatih dan tidak akan digugurkan, tetapi kedudukan mereka akan dibincangkan selepas Sukan Komanwel berakhir," kata Ahmad Sarji.

Semua pemain yang dipilih adalah dari skuad elit kecuali Zuraini Khalid dari skuad pelapis dan Syed Mohamed Syed Akil, bekas pemain kebangsaan.

Zuraini mencatat ranking Jack High No. 1 bagi 2010 dan merupakan johan singles 2010 (indoor) serta johan triples 2010 kebangsaan.

Syed Mohamed menduduki tempat ketiga semasa pertandingan Piala Dunia 2010 di Warilla, Australia baru-baru ini.

Ahmad Sarji juga mengumumkan perubahan terhadap bentuk latihan skuad negara di mana mulai sekarang pemain yang dipilih akan diletak di bawah pengawasan seorang jurulatih bagi setiap kategori.

Jurulatih kategori single ialah Mohd Ariffin Abd Gharani, jurulatih pair Mohd Aziz Maswadi dan jurulatih triple Zuraidi Puteh.

"Tugas jurulatih adalah menyediakan skima latihan selama empat bulan, mencari rakan berlatih pemain dari negara lain serta menguruskan setiap permainan dan pertandingan di dalam dan luar negara.

"Jurulatih akan bertanggungjawab untuk menyusun dan memberi cadangan kepada jawatankuasa latihan, apakah jadual latihan secara asas, strategi, jasmani atau rohani.

"Mereka akan menganalisis setiap permainan, ianya akan lebih intensif," jelas beliau. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan